Thursday, August 11, 2022

Study

 assalamualaikum

bismillahirragmanirrahim


Kali ni nak kongsi pasal study pulak. Alang-alang dah bertukar ke tempat kerja baru, memang banyak perkara kena belajar balik. 


So I always in the library study things. Let's learn and become smarter everyday hahahah

Thursday, July 14, 2022

Umrah Pertama (PART 4)

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum wbt


Terdapat banyak pengalaman yang tak dapat dilupakan sepanjang berada di Madinah. Ditambah pula dengan cuaca yang sejuk (lebih kurang 9-20 degree Celcius sahaja) terasa seperti sedang bercuti di London. haha

Kalau dah pernah sampai di sini sekali, mesti akan rasa nak pergi lagi dan lagi. Tidak akan pernah rasa puas meluangkan masa di bumi Madinah ini. Sepanjang berada di sana, kami hanya fokus kepada ibadah semata-mata dan terus lupa tentang hal ehwal duniawi.

Benarlah seperti hadis Nabi SAW, 

Sesungguhnya amal perbuatan kita itu bergantung kepada niat. Semasa kita di Malaysia lagi niat kena pasang dengan betul dan letakkan azam untuk melakukan ibadah yang terbaik semasa berada di sana nanti. 

Pandanglah Masjid Nawbawi dengan bersungguh-sungguh. Kerana entah bila lagi kita akan sampai di sana semula. Entah bila lagi peluang untuk berjumpa dengan Rasullullah akan terbuka lagi untuk kita. Berdoalah kepada Allah agar kita dijemput semula pada masa akan datang. 

Melihat Kubah Hijau, membuatkan kita teringat kepada Rasulullah SAW. Moga dengan asbab kita ke sana, doa-doa kita dimakbulkan oleh Allah dan kita berusaha berubah menjadi insan yang lebih baik sesudah sampai di bumi Malaysia ini. 

Antara perkara yang kena cuba bila sampai di sini ialah buah kurma freeze dan ais krim bumi Anbiya’. Sekali cuba pasti nak lagi. 😋

Bersambung ……

Friday, July 1, 2022

Umrah pertama (part 3)

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum

Jom ikuti sambungan cerita umrah pertama saya (Part 3). 

Kini tibalah masa yang ditunggu-tunggu iaitu hari kami akan melalui perjalanan yang panjang dan jauh dengan menaiki kapal terbang ke kota suci Madinah. Pada pagi tersebut seperti biasa sebelum seseorang ingin pergi menuanaikan umrah, sanak saudara akan berkumpul dan doa akan dibacakan. Ini bertujuan untuk memohon kepada Allah agar musafir kali ini mendapat perlindungan dan rahmatNya. 

Hujan turun dengan sangat lebat pada pagi tersebut. Selesai laungan azan dan bacaan doa, kami menaiki kapal terbang di Lapangan Terbang Sultan Mahmud untuk ke bertolak ke Kuala Lumpur International Airport (KLIA)

Penerbangan kami yang seterusnya adalah pada pukul 3 petang dari KLIA ke lapangan terbang Madinah. Perjalanan kami ke Madinah dijangka mengambil masa selama 8 jam. Itu adalah merupakan kali pertama saya menaiki kapal terbang untuk perjalanan sejauh dan lama begitu. 

Makanan tengah hari telah siap sedia dibeli oleh Kak Ngah dan kami makan atas lantai sahaja. Haha. Bila teringat balik terasa kelakar pun ada. Sesungguhnya perjalanan ini bukanlah perjalanan untuk bersantai-santai melainkan ia merupakan sebuah perjalanan yang dimulai dengan niat untuk beribadah semata-mata kerana Allah.

Setelah itu, Kami menaiki train untuk ke penerbangan antarabangsa dari KLIA. Setelah semua penumpang masuk dan mengambil tempat masing-masing, maka bermulalah perjalanan kami ke Madinah. Lebih kurang 8 jam kami berada di dalam perut kapal terbang, akhirnya kami sampai di lapangan terbang Madinah pada pukul 8 malam waktu Madinah. Malam terasa sangat panjang seperti tiada siangnya. Baru sahaja kedengaran azan maghrib pada pertengahan perjalanan di dalam kapal terbang dan masih lagi maghrib seusai kami sampai di Madinah iaitu pada pukul 8 malam dan ini berlaku kerana perbezaan zon waktu antara tempat tersebut.

Setelah selesai mengambil beg masing-masing, kami menaiki bas ke hotel penginapan. Alhamdulillah syukur kerana hotel yang dalam pakej adalah hotel yang paling dekat dengan Masjid Nabawi. Oleh sebab saya tidak pernah sampai di sini, saya terkedu melihat Masjid Nabawi, antara percaya dan tidak apabila melihat Masjid Nabawi betul-betul berada di hadapan mata.

Saya bermonolog di dalam hati, ‘Betul ke ini Masjid Nabawi?, dekat sangat dengan hotel.’

Walaupun kami tiba awal di hotel pada malam tersebut, tetapi pada pukul 2 pagi barulah kami boleh masuk tidur kerana ada beberapa urusan perlu diselesaikan segera seperti urusan pembahagian bilik, mengambil kunci bilik dan mendaftar dan ‘booking’ jadual ibadah di dalam application EATMARNA dan TAWAKKALNA.

Oleh sebab kami pergi ketika musim COVID masih belum berakhir dan reda, jadi segala urusan keluar masuk masjid mestilah di booking terlebih dahulu melalui aplikasi tersebut. Kad Sim mesti dibeli agar kami boleh mengakses kedua-dua aplikasi tersebut. 

Perkara yang paling penting sekali apabila sampai di sana adalah untuk booking tarikh kemasukan ke ROUDHAH kerana terdapat limitasi waktu dan jumlah pelawat untuk masuk ke sana. Setelah aplikasi di aktifkan, kami terus booking tarikh untuk ke Roudhah. (PENTING!)

Seorang pelawat dibenarkan untuk masuk SEKALI sahaja dan akan dibenarkan untuk masuk semula melalui aplikasi, selepas sebulan. Jadi, tanpa aplikasi tersebut, semua orang tidak boleh dengan sewenang-wenangnya masuk ke dalam Roudhah kerana ia dikawal dengan sangat ketat.

Walaupun kedengaran agak strict tetapi kelebihan masuk dengan aplikasi ini adalah kami tidak perlu berebut-rebut dengan orang lain dan boleh masuk mengikut giliran dengan aman damai. Tidak ada adegan bertolak-tolakan, pijak memijak dan lain-lain. Suasana amat tenang dan kami boleh bersembahyang agak lama di dalam Roudhah tersebut. Alhamdulillah rezeki daripada Allah untuk kami semua. 

Bilangan jemaah tidak terlalu ramai kerana ada beberapa negara masih tidak memberi kelulusan kepada rakyat mereka untuk pergi menunaikan umrah lagi. Jadi, suasana di Masjid Nabawi terasa seperti kita berada di masjid di Malaysia sahaja, kerana terasa tenang setenang-tenangnya dan tidak terlalu crowded.

Sunday, May 29, 2022

Review Air Optix plus Hydraglyde

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum

Hari tu saya ada janji nak review contact lens Air Optix plus Hydraglyde kan?

Setelah memakainya untuk dua minggu……..

So this is it!

Sebelum ini saya telah mencuba beberapa jenis contact lens tetapi kesemuanya tidak sesuai dengan mata saya. Ada contact lens yang mencengkam mata saya kerana saiznya yang kecil dan ada juga yang menyebabkan mata saya berasa kurang selesa kerana masalah mata kering yang saya alami.

Walaubagaimanapun saya tidak berputus asa mencari contact lens yang sesuai dengan mata saya. Setelah mendapati contact lens yang berdiameter 14.0 mm tidak sesuai dengan saiz mata saya kerana saiznya yang kecil, saya ingin mencari contact lens yang saiznya lebih besar sedikit iaitu yang berdiameter 14.2 mm (kerana standard saiz contact lens ialah 14.2 mm). 

Selain itu, kandungan air (water content) contact lens juga memainkan peranan dalam memberikan keselesaan kepada pemakai contact lens. Kandungan air yang tinggi boleh menyebabkan mata mudah menjadi kering kerana semakin tinggi kandungan air, semakin banyak air yang contact lens perlukan untuk memastikan ia sentiasa berada dalam kelembapan yang optimum. Contact lens yang mempunyai kandungan air yang tinggi akan menyerap air mata dengan lebih banyak berbanding contact lens yang mempunyai kandungan air yang rendah. 

Jadi, untuk individu yang mempunyai masalah mata kering seperti saya, adalah disarankan untuk memilih kandungan air yang rendah (kurang daripada 50%).   

Disebabkan masalah mata kering yang saya alami, jadi ciri-ciri contact lens yang sesuai dengan mata saya ialah:

    A) Berdiameter 14.2 mm (dengan base curve 8.6)

    B) Kandungan air yang rendah iaitu di bawah 50% 

   C) Diperbuat daripada material Silicone Hydrogel (SiHy) - kerana kandungan tembusan oksigen yang tinggi dan sangat sesuai untuk mata kering

Dan contact lens yang menepati kesemua ciri-ciri di atas adalah contact lens daripada jenama Alcon iaitu Air Optix plus Hydraglyde dengan Smartshield technology.

Kelebihan yang ada pada contact lens ini adalah kerana Hydraglyde Moisture Matrix di permukaan contact lens dapat membantu mengekalkan kelembapan yang berpanjangan. Ciri ini sangat penting dan amat diperlukan untuk individu yang mengalami masalah mata kering (yang tidak severe - penting)

HydraGlyde® Moisture Matrix is a proprietary moisture technology designed for moisturizing soft contact lenses, and specially designed for silicone hydrogel lenses. It works to keep the lens surface moist throughout the day.

Manakala dengan penggunaan teknologi Smartshield, ia boleh melindungi contact lens daripada mendapan deposit-deposit agar contact lens kekal bersih sehingga boleh membuatkan pemakai berasa selesa untuk pemakaian sehingga ke hari yang ke-30.

SmartShield® Technology delivers an ultra-thin protective layer to help shield your lenses from irritating deposits all month long.

Pengalaman pemakaian contact lens Air Optix plus Hydraglyde with Smartshield Technology

Kali pertama memakai contact lens jenis ini, mata saya berasa lebih selesa tidak seperti contact lens sebelum ini yang seolah-olah mencengkam mata saya. Malah, pergerakan contact lens di dalam mata berasa lebih lancar dan tidak tersekat-sekat. Dan yang paling mebahagiakan adalah penglihatan saya sentiasa jelas di setiap sudut pandangan daripada pagi sehingga ke petang. 

Walaupun saya mempunyai masalah mata kering, tetapi contact lens ini tidak menyebabkan mata saya berasa kering langsung walaupun di dalam tempat berhawa dingin. Selalunya sebelum ini mata saya kerap berasa kering terutama selepas lima hingga ke enam jam pemakaian. Tetapi, saya tidak mengalami masalah seperti itu lagi dengan contact lens ini.

Oleh sebab itu, saya membuat keputusan untuk meneruskan pemakaian contact lens ini dan MEMILIH untuk mengekalkan contact lens ini sebagai contact lens PILIHAN saya. 

Contact lens ini layak untuk mendapat rating 9.5/10. TERBAIK! 👍

⭐⭐⭐⭐⭐

Sekiranya anda mempunyai masalah seperti saya, silalah cuba pakai contact lens ini, pasti anda tidak menyesal. 

Sekian dahulu perkongsian saya, SEMOGA BERMANFAAT!

Monday, May 23, 2022

Multipurpose Solution

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum

Terdapat pelbagai jenis contact lens di pasaran kini yang boleh didapati dengan mudah di kedai-kedai cermin mata. Kebanyakan pemakai cermin mata lebih memilih untuk beralih ke pemakaian contact lens kerana ia lebih selesa dan secara kosmetiknya wajah kelihatan lebih natural. 

Tetapi haruslah diingatkan bahawa contact lens memerlukan penjagaan yang sangat rapi. Jika tidak mematuhi arahan penjagaan yang betul, mata akan mudah terkena jangkitan kuman.

Oleh sebab itu, pemilihan air cuci contact lens atau dikenali sebagai multipurpose solutions (MPS) adalah sangat penting. Kenapa ia dipanggil sebagai ‘multipurpose solutions’?

Multipurpose solution bermaksud terdapat banyak kegunaan di dalam satu produk pencuci contact lens. Antaranya kegunaannya adalah:

A) untuk mencuci contact lens

B) untuk membilas contact lens

C) untuk menyimpan contact lens

D) untuk menyahkuman contact lens

Setiap multipurpose solution mempunyai perbezaan dari segi jumlah masa ia harus dibiarkan terendam agar segala kuman yang terdapat di permukaan contact lens dapat dihapuskan. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, anda boleh rujuk dengan optometris atau baca arahan yang ditulis di dalam pamphlet yang disediakan.

Setelah saya mencuba beberapa multipurpose solutions, sebenarnya terdapat beberapa multipurpose solutions yang sesuai digunakan untuk mata yang sensitif. (Mata saya agak sensitif sebenarnya).

Antara solutions yang sesuai adalah: RENU, OPTIFREE PUREMOIST dan BIOTRUE.

Jika anda memiliki mata yang sensitif, anda boleh memilih di antara ketiga-tiga MPS yang saya sebutkan di atas. 

Setiap MPS boleh bertahan sehingga 90 hari selepas dibuka. Jadi, sekiranya mata anda berasa merah dan gatal-gatal selepas menggunakan MPS yang anda beli, berkemungkinan mata anda perlu menukar kepada  MPS  yang lain. Anda haruslah mencubanya terlebih dahulu untuk mengetahui keserasian MPS dengan mata anda.

Sekarang saya sedang menggunakan MPS daripada Biotrue. Setelah sebulan menggunakannya saya dapati ia membantu agar mata saya sentiasa berada dalam keadaan yang lembap untuk keselesaan pemakaian contact lens sepanjang hari. Mata saya tidak menjadi merah dan gatal lagi seperti sebelum ini. Saya sangat recommend produk ini kepada sesiapa sahaja yang baru nak mula memakai contact lens dan sedang mencari-cari MPS yang sesuai.   



Keselesaan pemakaian contact lens haruslah dititikberatkan bukan sahaja dari segi pemilihan MPS tetapi dari segi pemilihan jenis contact lens juga menyumbang kepada kejayaan pemakaian contact lens.

Untuk entri yang seterusnya saya akan sambung cerita hasil pemakaian contact lens Air Optix plus Hydraglyde with Smartshield Technology pula. 😊 


Thursday, May 19, 2022

UMRAH PERTAMA (Part 2)

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum

Jom sambung kisah perjalanan umrah pertama saya dan famili.

Selepas tarikh umrah dipilih sebulat suara iaitu pada 15 Februari 2022, segala persiapan untuk menunaikan umrah dibuat. Kelengkapan umrah seperti jubah, tudung sarung, stoking dan lain-lain dicari. 

Kami menerima sebanyak tiga buah beg daripada agensi Tiram Travel:

   I) Satu beg besar

  II) Satu beg sederhana

  III) Satu beg silang kecik

Pemergian umrah yang tidak dirancang ini begitu bermakna buat kami sekeluarga. Akhirnya impian untuk menjejakkan kaki ke tanah suci dimakbulkan oleh Allah setelah bertahun-tahun lamanya kami berdoa.

Sebelum kebenaran untuk pergi menunaikan umrah diluluskan, kami semua harus menjalani ujian swab untuk memastikan bahawa tidak ada jemaah yang dijangkiti dengan virus COVID-19. Sekiranya didapati bahwa kami dijangkiti dengan virus tersebut, pemergian kami ke tanah suci akan dibatalkan. Malangnya, duit yang telah dibayar kepada travel agency tidak akan dipulangkan. 

Jadi, pada tarikh 14hb Februari iaitu 48 jam sebelum kami berangkat ke tanah suci, kami pergi menjalani ujian swab di sebuah klinik swasta yang terletak di Bukit Payong. Kehadiran kami disambut dengan hujan yang turun renyai-renyai. Bayaran yang dikenakan untuk satu ujian swab adalah sebanyak RM150 untuk seorang individu.

Sebenarnya pada masa ujian swab dijalankan, kesihatan adik tidak begitu memberangsangkan kerana adik mempunyai simptom-simptom covid seperti sakit tekak dan demam. Walaupun begitu, kami meletakkan sepenuh keyakinan dan tawakkal hanya kepada Allah kerana sekiranya kami betul-betul dijemput oleh Allah ke sana, maka tidak ada daya apa pun yang dapat menghalang kami untuk sampai ke sana.

Keputusan ujian swab keluar agak lewat dan kami semua menanti dengan penuh debaran. Dalam kesibukan melengkapkan persiapan umrah, semua keputusan telah pun keluar satu persatu. ALHAMDULILLAH semua didapati NEGATIF COVID-19. Syukur dipanjatkan kepada Allah kerana segalanya dipermudahkan olehNya. 

Impian kami untuk menjejakkan kaki ke sana tinggal sedikit masa lagi untuk menjadi realiti. Subhanallah. Segalanya berlaku hanya dengan izin Allah SWT.

Nantikan sambungan di Umrah Pertama (Part 3).


Menonton Wayang Kali Pertama

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum

Adakah anda pernah menonton wayang di pawagam? 

Saya baru sahaja pergi menonton filem Dr Strange in the Multiverse of Madness. Saya boleh katakan jalan ceritanya direct dan mudah difahami, cuma kita akan berasa seolah-olah sedang menonton filem yang banyak memaparkan tentang ilmu hitam hampir seratus peratus di dalam filem tersebut. Antara perkataan yang disebut di dalam filem tersebut ialah dajjal, illuminati, kitab darkhold (kitab ilmu hitam) dan lain-lain.


Dalam entri kali ini bukanlah saya ingin mengulas tentang filem tersebut kerana untuk menulis review tentang filem Marvel, ia sangat complicated kerana setiap filem Marvel berkait antara satu sama lain. 

Jadi, saya cuma ingin berkongsi tentang pengalaman saya menonton wayang buat kali pertama dengan classmate semasa belajar degree dahulu. Kali pertama saya menonton wayang adalah bersama dengan Mena, Zai, Nasrul dan Man. Filem pertama yang saya tonton dengan mereka ialah filem Spiderman 2. 


Saya dan Mena berasa sangat teruja pada masa itu kerana ia merupakan pengalaman pertama kami menjejakkan kaki ke panggung wayang. Haha.

Selepas daripada itu, saya sudah tidak lagi pergi menonton wayang kerana menonton wayang bukanlah satu keperluan untuk seorang student. Saya tidak mahu membazirkan duit ibu bapa saya untuk perkara yang tidak mendatangkan manfaat. Pada pendapat saya, seorang student harus tahu memanfaatkan wang saku yang diberikan dengan sebaik-baiknya. 

Setelah saya memasuki alam pekerjaan, saya dan rakan sekerja berpakat untuk mengisi waktu cuti kami dengan pergi menonton wayang di Mesra Mall. Itu adalah merupakan kerja gila yang saya pernah lakukan kerana pulang ke rumah pada lewat malam. Kami bertolak ke Mesra Mall selepas solat maghrib kerana tayangan bermula lebih kurang pada pukul 9 malam. Saya sedar kesilapan saya bahawa sebagai seorang perempuan saya seharusnya lebih berhati-hati dan tidak pulang lewat malam ke rumah hanya semata-mata untuk menonton wayang.

Selepas beberapa tahun daripada kejadian itu, barulah keinginan untuk menonton wayang datang semula. Cuma pada kali ini, saya berseorangan sahaja. Sudah tidak ada lagi sesiapa yang boleh menemani diri ini lagi. Dari itu, saya sedar bahawa semakin kita dewasa, semakin kecil circle kawan-kawan kita. 

Pada pendapat saya, tengok wayang boleh menjadi salah satu terapi untuk menghilangkan stress. Tetapi menonton wayang biarlah berpada-pada. Duit haruslah dibelanjakan dengan cara yang bijak dan berhemah.