Showing posts with label aQuE. Show all posts
Showing posts with label aQuE. Show all posts

Wednesday, January 18, 2023

Perhimpunan Bulanan Siri 1/2023 : Oftal + ENT

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum



Pada hari Ahad baru-baru ini (15 Januari 2023)  telah diadakan perhimpunan bulanan di Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (HPUniSZA).

Perhimpunan ini telah dianjurkan oleh Jabatan Oftalmologi dan Otorinolaringologi. Gabungan kedua-dua jabatan ini telah menjadikan program ini sebagai program pembuka tirai bagi perhimpunan bulanan untuk sesi tahun 2023 yang hebat sekali! 

Tahniah untuk semua ahli jawatankuasa yang bertungkus-lumus merancang dan menjadikan perhimpunan ini satu kejayaan. 

Perhimpunan kali ini mengambil TEMA menjadikan surau awam di Aras 1 sebagai Surau Angkat selain merekrut staf sebagai ahli Rakan Surau. Selain itu, tujuan perhimpunan diadakan untuk memperkenalkan dan mengwara-warakan Surau Angkat tersebut kepada orang ramai. Apabila ahli Rakan Surau telah dilantik, program-program yang akan dibuat di surau tersebut menjadi lebih mudah.

Sebelum majlis berlangsung, rehearsal dilakukan beberapa kali bagi memastikan perjalanan majlis lancar. Walaupun ada beberapa masalah teknikal semasa rehearsal, tetapi masalah tersebut berjaya diselesaikan oleh unit IT dan kejuruteraan dengan baik. 

Alhamdulillah selesai sudah semuanya. Kami semua amat berpuas hati. 

Jumpa lagi di perhimpunan tahun 2024 akan datang!! 👀

InsyaAllah. B

Sunday, January 1, 2023

Welcome 2023! Be Kind to Me yaaa

Assalamualaikum

Bismillahirrahmanirrahim



Selamat Datang tahun baru 2023!

Tidak sangka rasanya baru semalam lahir ke dunia, tetapi pejam celik dah sampai ke usia 30-an sudah.

Kahwin pun belum. 😢

Saya berharap dengan kedatangan tahun baru ini, semoga Allah mempermudahkan jalan saya bertemu dengan jodoh saya. Biar lambat asal selamat. 

Semoga pada tahun ini saya boleh istiqamah:

1. Berpuasa setiap hari Isnin dan Khamis, 

2. Membaca Ma'thurat setiap kali selepas Solat Subuh, 

3. Membaca Al-Quran 1 helai setiap kali selepas solat Maghrib, 

4. Solat sunat Istikharah selepas solat Maghrib,

5. Rajin menunaikan solat sunat rawatib, 

6. Bangun tahajud setiap hari dan disusuli dengan mengaji Al-Quran, 

7. Berzikir 10 minit setiap hari, 

8. Bersenam 30 minit setiap hari di atas threadmill, 

9. Membaca surah Al-Mulk sebelum tidur dan 

10. Rajin mengulangkaji ilmu optometri. 

11. Dapat menunaikan Haji bersama Ma & (Abah).

Semoga Allah mempermudahkan urusan pada tahun ini dan rezeki bertambah di samping mendapat keberkatan daripada Allah dan dipertemukan dengan jodoh dunia, akhirat yang baik, jaga solat lima waktu, boleh treat saya dengan baik, baik dengan ibu bapa dan keluarga, tidak mudah marah, bersabar, rajin cari rezeki untuk keluarga, suami yang bertanggungjawab dengan urusan nafkah isteri dan keluarga, tidak ambil ringan urusan nafkah keluarga, penyayang, ayah yang baik untuk anak-anak kita nanti. Amin.

Hopefully like this: 

I was always thinking that love was wrongBut everything was changed when you came alongOhohohAnd there's a couple of words I want to say
For the Rest of My LifeI'll be with youI'll stay by your side honest and trueTill the end of my timeI'll be loving you. loving you
B

Thursday, December 15, 2022

LUNCH BREAK

 Assalamualaikum

Bismillahirrahmanirrahim

Hari tu bos kami Dr Emma belanja ahli jawatankuasa teknikal dan harga, makan tengah hari di McD Gong Badak. Aku telah memilih burger prosperity (daging lembu). Thank you Boss. Memang pada setiap tahun, McD akan buat promosi ni pada hujung tahun. So, jangan lepaskan peluang ini ok 😉 B





Monday, December 5, 2022

Spek mata baru warna Pink gittew

Assalamualaikum

Bismillahirrahmanirrahim


Sebenarnya ceritanya begini, spek mata saya patah sebab terlibat dengan kemalangan tempoh hari. Oleh sebab saya lebih gemar memakai spek mata jenis plastik dibandingkan dengan memakai spek mata besi di rumah sebab spek mata besi tu dah senget sebelah. 

Jadi, saya membeli cermin mata baru menggantikan cermin mata lama. Harganya murah sahaja. (p/s Sebenarnya mahal juga tetapi kira murah lah untuk sebuah cermin mata, mana ada cermin mata yang murah, kalau murah mesti kurang berkualiti cermin dia.) 

Jadi, jom tengok cermin mata baru saya dalam gambar di bawah. Cantik, tak?p/s Abaikan muka saya yang bulat itu. Haha. B



Tuesday, November 15, 2022

MESYUARAT PENERIMAAN PERALATAN

Assalamualaikum

Bismillahirrahmanirrahim




Pada hari Isnin baru-baru ini telah diadakan mesyuarat penerimaan peralatan bersama pembekal. Seramai lapan orang wakil daripada Jabatan Oftalmologi telah menghadiri mesyuarat tersebut.

Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Saifuddin dan minit mesyuarat ditulis oleh saya.

Saya kira kerja-kerja seperti ini merupakan pengalaman baru untuk saya menyertai sebuah mesyuarat bersama dengan orang-orang besar. Kalau disuruh bercakap, nervous saya dibuatnya haha. Apa-apa pun saya gembira membuat kerja-kerja seperti ini. 

Diharapkan proses penghantaran, pemasangan dan latihan berjalan dengan lancar. B

Friday, November 11, 2022

Review Buku: Aku Bukan Superman: Aku Pemuda Luar Biasa

Assalamualaikum

Bismillahirrahmanirrahim


Hari ini saya telah habis membaca sebuah buku bertajuk Aku Bukan Superman:Aku Pemuda Luar Biasa. Buku ini saya habiskan dalam masa dua hari. Buku ini menggunakan gaya bahasa yang mudah difahami oleh golongan muda dan mudah untuk sampai kepada hati pembaca. Buku ini ditulis oleh Asyraf Farique dan diterbitkan oleh Humaira Bookstore.

Buku ini cukup luar biasa sekali. Ia memberikan kesedaran tentang peranan seorang pemuda agar tidak mensia-siakan masa dengan sesuatu yang tidak bermanfaat sebaliknya sentiasa membaiki diri agar dapat menjadi pemuda yang berjuang untuk agama.

Kita telah banyak dilalaikan dengan agenda Barat seperti hedonisme dan 4S: Sex, Sport, Screen, Song. Betapa ramai anak muda yang meninggalkan solat, lalai dengan hiburan dunia dan kurang mengambil cakna tentang keadaan umat Islam kini seperti yang berlaku di Palestin, Syria dan Rohingya.

Kenapa semua ini berlaku dan bagaimana kita mahu berubah? Perkara tersebut ada dikupas dalam buku ini. Kepada anak-anak muda yang ingin membuka minda dan menjentik kesedaran untuk menjadi lebih baik dan berubah, buku ini adalah pilihan tepat sebagai permulaan untuk memulakan langkah yang pertama. Iaitu, KESEDARAN. 

Thursday, November 10, 2022

Review Buku

 Assalamualaikum

Bismillahirrahmanirrahim

Hari ni saya nak review buku yang saya baca kelmarin. Buku yang pertama ialah Kembara Iman karya Lisa Nurisha yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP). Manakala buku kedua bertajuk Kosong-kosong terbitan Mustread Sdn Bhd yang dituliskan oleh Mohd Fakhruddin.



Buku pertama merupakan sebuah novel yang menceritakan tentang pengembaraan seorang cucu ke tanah asing untuk mencari datuknya yang telah lama hilang. Jalan ceritanya ringkas sahaja tetapi cukup membekas di hati kerana pengolahan yang baik daripada penulis. Mungkin kisah begini jarang didengari tetapi tidak mustahil untuk berlaku dalam masyarakat di mana darjat dan keturunan dipandang tinggi dan keturunan orang biasa tidak akan dipandang. 

Tetapi kasih-sayang yang akhirnya menang di penghujung cerita. Watak utama iaitu Nurul Iman berjaya menemukan semula nenek dengan datuknya yang telah terpisah selama 40 tahun. Penantian yang penuh dengan penyeksaan dan tanda-tanya akhirnya terjawab malah neneknya semakin sihat sejak kepulangan suami tercinta yang ditunggu-tunggu selama ini.




Buku kedua tidak kurang hebatnya apabila tema yang diangkat penulis adalah berkenaan dengan kepentingan menggunakan sebaiknya peluang yang ada kerana kita sering mensia-siakan peluang yang diberikan Allah. Tetapi, apabila hilang peluang tersebut barulah kita akan tercari-cari dan menyesali atas segalanya.

Sebagaimana contoh, sekiranya kita bangun untuk ke tandas pada waktu tengah malam, ada baiknya kita mengambil peluang untuk melakukan solat sunat tahajjud. Itu antara contoh yang diberikan dalam buku tersebut dan terdapat banyak lagi contoh lain. Saya sangat recommend buku ini kepada semua kerana isinya ringkas tetapi tembakannya padu! B

Wednesday, November 9, 2022

MAJLIS BACAAN YASIN DAN SOLAT HAJAT

 Assalamualaikum

Bismillahirrahmanirrahim


Semalam pada tarikh 8 November 2022, telah diadakan Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat. Tujuan majlis diadakan adalah untuk memohon keberkatan daripada Yang Maha Esa kerana tidak lama lagi klinik akan dibuka secara berperingkat. 

Setelah itu, sedikit jamuan disediakan untuk para jemputan yang hadir. Antara menu yang ada adalah seperti Nasi Minyak, Soto, Satey, Kuih-muih, pulut panggang dan lain-lain.

Walaupun majlis diadakan cuma ringkas tetapi sambutan cukup meriah daripada staf yang hadir. Alhamdulillah. B

Wednesday, November 2, 2022

Selamat Hari Pembantu Perawatan Kesihatan

 Assalamualaikum

Bismillahirrahmanirrahim



Rasanya belum terlewat lagi untuk mengucapkan "SELAMAT HARI PEMBANTU PERAWATAN KESIHATAN" kepada semua yang bergelar PPK. Bantuan anda di hospital amat kami hargai. Anda boleh semak tugas dan tanggungjawab PPK di sini: https://www.moh.gov.my/moh/resources/Penerbitan/Garis%20Panduan/Pen%20Peg%20Perubatan/TUGAS_DAN_TANGGUNGJAWAB.pdf

Kawan pertama saya di UniSZA merupakan seorang PPK. Tidak sangka bertemu dengan seorang yang berkongsi tarikh lahir yang sama. Cuma perbezaan antara kami ialah dia sudah menikah manakala saya masih belum bertemu jodoh.

Saya berharap semoga persahabatan kita dirahmatiNya. B

Tuesday, October 25, 2022

BOWLING TOURNAMENT

Assalamualaikum

Bismillahirrahmanirrahim



Baru-baru ini telah diadakan pertandingan bowling antara jabatan. Tempat pertama dirangkul oleh Jabatan Kecemasan kerana team mereka semua power-power. 

Aku lagilah antara pemain paling lembik sekali hahaha. Kami ingatkan pertandingan hanya dibuat satu round sahaja tetapi rupanya kami dikehendaki bermain untuk tiga round. 

Habis sakit-sakit urat tangan dan badan selepas bermain kerana membaling bola yang berat tersebut. Hahah.

Walaupun kalah, tetapi kami seronok bermain haha.

Kesimpulannya aku ni kena kuatkan otot tangan biar jadi perkasa sedikit macam badang tu hahahaha.

Next time, boleh main lagi sebab seronok rupanya main bowling ni hehe. B

Al-Fatihah, Tok Mek

Assalamualaikum

Bismillahirrahmanirrahim



Pada hari Sabtu yang lepas, kami dikejutkan dengan berita Tok Mek dikejarkan ke hospital kerana dikatakan telah terjatuh di dalam bilik air. 

Rupa-rupanya, Tok Mek terjatuh disebabkan oleh strok di dalam kepala atau dikenali sebagai HEMORRHAGIC STROKE

Strok di dalam kepala tersebut telah mengakibatkan pendarahan yang serius di dalam kepala. Tok Mek telah dimasukkan ke Wad 1CD di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). 

Selepas mengetahui berita tersebut, aku bergegas ke hospital selepas pertandingan bowling antara jabatan yang diadakan di Paya Bunga Square (PBS). Aku sedih melihat keadaan Tok Mek yang pada ketika itu dalam keadaan tidak sedarkan diri dan terlantar di atas katil. Beliau menggunakan alat bantuan pernafasan dan mengikut perkiraan doktor, Tok Mek tidak mempunyai banyak masa lagi kerana keadaannya yang kritikal.

Pada waktu pagi keesokan harinya iaitu pada hari Ahad, Tok Mek telah dipanggil pulang ke Rahmatullah dan kini Tok Mek sudah tiada buat selama-lamanya.

Setelah jenazah diuruskan, kami semua berkumpul di rumah arwah untuk disembahyangkan. Jenazah akan disembahyangkan selepas solat Zuhur.

Arwah sangat dikenali sebagai seorang yang setia di sisi suaminya dan sangat bermurah hati memberikan makanan kepada orang ramai. 

Aku tidak dapat menahan sebak semasa melihat keadaan Tokki yang kesedihan dengan berita pemergian arwah. Tokki sememangnya bergantung sepenuhnya dengan arwah Tok Mek. Semoga tokki tabah dan mampu menerima berita ini dengan berlapang dada. 

Kami pasti akan merinduimu dan rindu untuk menjamah masakan arwah. Semoga arwah di tempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. B


 

Monday, October 24, 2022

MESYUARAT BERSAMA TENDER

Assalamualaikum

Bismillahirrahmanirrahim




Pada hari Khamis minggu lepas saya telah menghadiri mesyuarat bersama tender di Bilik Mesyuarat Ar-Razi, HPUniSZA. 

Mesyuarat bersama tender adalah berkenaan dengan makluman ketersediaan peralatan yang dibeli semasa Perolehan Fasa 1. Mesyuarat tersebut dihadiri oleh seramai lapan orang wakil daripada Jabatan Oftalmologi. 

Nampaknya, pembekal daripada Pharmaniaga mengesahkan bahawa semua peralatan untuk Jabatan Oftalmologi dalam senarai Modul 21 Perolehan Fasa 1 boleh disediakan sebelum tarikh akhir. Semoga segalanya berjalan dengan lancar. B

Monday, October 17, 2022

It is a wrap!

Assalamualaikum

Bismillahirrahmanirrahim



Hari ini merangkap hari penghabisan dalam pembikinan filem pendek untuk penyertaan pertandingan video pendek sempena bulan kesihatan mental UniSZA.

“KESEJAHTERAAN MENTAL, KEUTAMAAN SEJAGAT” dipilih sebagai tema untuk sambutan kesihatan mental pada kali ini. Oleh itu, peserta dikehendaki membuat sebuah video pendek berpandukan tema tersebut. 

Pertandingan ini aku sertai dengan seorang rakan daripada Jabatan Oftalmologi HPUniSZA. Kami memerah otak mencari idea demi projek pertama kami ini. Selain dapat menghasilkan sebuah video, kami juga boleh menjadikan gerak kerja ini sebagai satu wadah untuk mengeratkan lagi hubungan sesama staf, almaklumlah masih baru berkenalan lagi. 

Kami harap, kami akan dinobatkan sebagai PEMENANG nanti. Berangan kan PERCUMA! Hehe.. Tapi tolong AMIN kan ye semua. Mana tahu REZEKI berpihak kepada kami. 

Semoga dengan penghasilan video tersebut dapat menjentik sifat empati dan cakna dalam kalangan penonton terhadap masyarakat sekeliling yang mungkin sedang mengalami masalah mental.B 

Friday, October 14, 2022

Di hari kejadian: WSD 2022

Assalamualaikum

Bismillahirrahmanirrahim




Setelah membuat persiapan hampir dua minggu, akhirnya tibalah hari yang ditunggu-tunggu. Aku sampai awal di tempat saringan iaitu lebih kurang pada pukul 7.15 pagi. Sementara menanti ketibaan kawan-kawan yang lain, aku membawa kawan sekerja aku dari Unisza melawat sekitar kawasan program. 

Boleh dikatakan program screening pertama EOC berjalan dengan lancar dan semua pihak tahu memainkan peranan masing-masing. Booth kami sesak dengan ramai pengunjung dari awal sampai ke akhir program. Paling seronok sekali kerana ramai yang berkunjung bukan sahaja mahu mendapatkan pemeriksaan mata percuma dan merebut peluang membuat cermin mata pada harga berpatutan malahan mereka singgah kerana mahu mengambil bahagian dalam sesi kuiz dan cabutan bertuah.

Walaupun jemputan kebanyakannya datang daripada kakitangan agensi kerajaan, tetapi program kali ini tetap mendapat sambutan hangat daripada mereka. Program sambutan Hari Penglihatan Sedunia ini merupakan program julung kalinya diperkenalkan kepada orang awam di Terengganu ini. Mungkin sebelum ini tidak banyak pendedahan diberikan kepada mereka, jadi kali ini diharapkan pendedahan seperti ini menambah satu lembaran pengetahuan yang baru tentang kepentingan menjaga penglihatan terutamanya melalui penjagaan kesihatan dengan mengawal pengambilan makanan yang tidak sihat. 

Kami bersurai sekitar pukul 6 petang. B

Monday, October 10, 2022

Apa itu NEURO-LINGUISTIC PROGRAMME (NLP)?

Assalamualaikum

Bismillahirrahmanirrahim




Pada kali pertama mendapat surat jemputan untuk ke bengkel tersebut, aku tertanya-tanya apakah Neuro Linguistic Programme? Apa yang terlintas di fikiranku pada waktu itu adalah adakah ia merupakan sebuah bengkel untuk mengajar seseorang bercakap atau adakah ia mempunyai perkaitan antara neuro dan komunikasi? Tetapi kalau begitulah maksudnya, apakah pula kaitan NLP itu dengan sebuah hospital? Macam tak ada kena mengenalah pula.

Maka, pada hari ini, aku menghadiri bengkel berkenaan dengan NLP yang disampaikan oleh saudara penceramah yang tidak asing lagi iaitu; Encik Ahmad Termizi bin Ab Aziz. 

Ucapan alu-aluan pembuka bengkel telah disampaikan oleh pengarah hospital sendiri, Prof. Dato’ Dr. Ahmad Zubaidi bin A. Latif. 

Mungkin tidak ramai yang pernah mendengar tentang NLP. Objektif NLP ialah agar seseorang individu dapat mengendalikan keadaan diri di mana kejayaan mengawal keadaan diri bergantung kepada kejayaan seseorang itu mengawal emosi dan fizikal kita dengan mengawal cara kita berfikir.

Hal ini dapat dibantu dengan mengamalkan inkantasi iaitu bercakap perkara yang positif tentang diri sendiri terutamanya pada setiap pagi sebelum memulakan apa-apa kerja. Dan semestinyalah cara kita berfikir itu berpandukan kepada iman dalam hati. 

Rupa-rupanya setelah beberapa jam berada dalam bengkel tersebut, barulah dapat dilihat perkaitan antara NLP dengan hospital. NLP bertujuan agar dapat membetulkan mindset atau cara kita berfikir atau pun niat kita menjadi anggota kakitangan hospital UniSZA adalah kerana Allah Taala. Jadi, apa pun yang berlaku kepada kita, hati dan pegangan kita tidak akan mudah goyah kerana kita lakukan semata-mata kerana Allah. Jika sesuatu perkara itu tidak menjadi seperti yang kita inginkan walhal kita telahpun mengamalkan prinsip-prinsip yang telah dipelajari di dalam bengkel NLP, tidak mengapa kerana Allah itu ada. ‘Buat kerana kita nak buat, bukan sebab nak dapatkan penghargaan daripada orang lain’.

Bengkel tamat lebih kurang pada pukul 1 tengah hari. Setelah menyertai bengkel ini, saya dapati fikiran dan hati saya lebih tenang dan dapat mengubah pengalaman negatif yang saya pendam selama ini, beransur hilang daripada kotak memori saya. B

Sunday, October 9, 2022

LOCUM EOC

Assalamualaikum

Bismillahirrahmanirrahim



Hari Sabtu semalam saya locum di EOC. Pelanggan mula datang lebih kurang pada pukul 11.30 pagi. Ada yang merupakan pelanggan lama atau regular dan ada yang merupakan pelanggan baru. 

Kami pulang agak lewat semalam, lebih kurang pada pukul 6.50 petang kerana masih ada lagi pelanggan yang tiba pada pukul 6 petang. Mesti masyuk ah semalam haha. B

Wednesday, October 5, 2022

GOLD SPOON aka SUDU EMAS

Assalamualaikum

Bismillahirrahmanirrahim





Perkataan ‘kena suap’ tu sudah sangat terkenal sejak dari zaman persekolahan lagi. ‘Kena suap’ membawa maksud; tidak perlu bersusah payah mencari ilmu cuma perlu meminta jawapan sahaja daripada guru. 

Walaupun maksud ‘kena suap’ berbeza dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka kerana menurut kamus tersebut ia lebih kepada membawa maksud: mengambil rasuah.

Tetapi itu bukan konteks yang ingin saya kaitkan dengan gambar di atas. Perkaitannya hanyalah daripada perkataan ‘Sudu’ sahaja kerana sudu adalah sinonim dengan menyuap.

Tetapi kalau SUDU EMAS? Apakah perkaitannya pula?

Sudu emas berkait rapat dengan keadaan seseorang yang dibesarkan dengan kemewahan. Boleh katakan mereka yang dibesarkan dengan ibu bapa yang kaya raya ini tidak mengenal erti kesusahan kerana mereka boleh mendapat apa sahaja yang mereka mahukan. 

Jadi begitulah perumpamaan sudu emas dalam cerita ini tetapi diolahkan penceritaannya setakat empat episod yang saya baru tonton dengan baik sekali. Tidak kiralah sama ada kita mendapat sudu emas ataupun tidak, kita kena sentiasa bersyukur dengan apa yang ibu bapa kita mampu sediakan. Kerana kita tidak tahu apakah kesusahan yang mereka hadapi untuk membesarkan kita.    

Saya ingin menjemput penonton untuk menonton cerita ini dan mengambil iktibar bahawa tak semestinya sudu emas yang kita perlukan dalam hidup ini untuk mencapai kebahagiaan tetapi yang kita lebih perlukan adalah kebersamaan dan kasih sayang dalam keluarga. B

Wednesday, September 28, 2022

Rawatan di Klinik Dr Ko

 Assalamualaikum

Bismillahirrahmanirrahim



Entah macam mana suatu hari tu terbuka untuk pergi ke Klinik Dr Ko. Pergi untuk rawatan apa tu rahsialah tak boleh nak bagitahu. 

Tapi saya pergi bukan untuk tujuan pembedahan plastik untuk nampak lebih cantik ke apa sebab niat untuk kecantikan dibimbangi jatuh ke hukum HARAM pulak nanti.

Jadi, rawatan yang saya dapatkan untuk memudahkan urusan saya di kemudian hari nanti. Semoga dengan rawatan ini, segalanya akan beransur pulih dan semoga ALLAH mudahkan dan berikan kesihatan yang baik untuk saya.

Haha ayat cliche sangat bajet retisss..

Jadi, sesiapa ada masalah kulit atau rambut, boleh dapatkan pandangan dan juga rawatan di sini. Layanan daripada pihak klinik agak bagus. Semuanya straightforward dan tak ada mengambil masa yang lama pun. Pastikan tujuan anda untuk ke sini pun jelas dan dengan niat yang baik.

Selebihnya tawakkal kepada Allah agar urusan dipermudahkan dan berjalan lancar.  B

FOR THE SAKE OF ALLAH

 Assalamualaikum

Bismillahirrahmanirrahim




Berkunjung ke sini merupakan impian setiap orang tidak kira sama ada yang miskin atau yang kaya. Ada yang sanggup menyimpan duit selama bertahun-tahun semata-mata ingin menunaikan rukun Islam yang kelima ini. 

Tempat ini sememangnya mempunyai sejarahnya yang tersendiri dan merupakan antara tempat yang paling banyak menerima kunjungan manusia pada setiap masa. Jika berkunjung ke sini, tidak akan mengenal erti sunyi kerana saban masa dipenuhi dengan manusia yang ingin menghambakan diri kepada Allah. 

Selain merupakan perintah daripada Allah, pasti ada yang datang berkunjung untuk mengasingkan diri seketika daripada kesibukan memikirkan hal dunia demi mencari ketenangan daripada Ilahi. 

Semoga dengan izinNya kita diberikan peluang dan kesempatan untuk menjejakkan kaki ke sini pada suatu hari nanti. InsyaAllah. B  

Tuesday, September 13, 2022

TIKTOK: BAIK ATAU TIDAK

 Assalamualaikum

Bismillahirrahmanirrahim


Hari ni saya nak membebel (baca: menulis) tentang tiktok.

Kita sedia maklum yang tiktok merupakan sebuah applikasi yang sangat digemari ramai dan medium hiburan yang sangat popular dasawarsa ini.

Pernah suatu ketika dahulu, tiktok menjadi viral kerana pengaruh negatif yang dibawa olehnya. Negatif yang macam mana? Saya tidak pasti tetapi saya yakin ia membawa pengaruh yang tidak baik kerana banyak waktu terbuang dengan melayarinya. ITU DAHULU.

Tetapi, kerana tuntutan kerja dan ingin mencari idea untuk marketing produk, akhirnya saya memutuskan untuk mendownload aplikasi tersebut.

Adakalanya saya menggunakan untuk mencari idea untuk marketing, adakalanya saya menggunakannya untuk mencari kata-kata motivasi untuk membantu saya move on. 

Tetapi setelah lama menggunakannya, saya dapati saya berasa sedikit sebanyak tertekan kerana kebanyakan video yang lalu di wall saya (video fyp) kebanyakannya menceritakan tentang pasangan masing-masing. hahaha.

Ada yang berkongsi tips, tidak kurang juga yang mempamerkan betapa indah dan bahagianya berpasangan. Saya juga berasa kurang senang kerana lambakan video fyp yang berkongsi banyak tips ringkas dan ilmu ringkas sehingga saya berasa kepala saya terlalu penuh dengan ilmu-ilmu yang banyak dalam satu masa dan tidak tersusun. Pening den jadinya. 

Selain itu, masa saya banyak habis dengan melayari tiktok dengan mendapat perkongsian ilmu dan video-video yang saya tidak perlukan langsung. Saya berasa tidak ada penambahbaikan daripada segi kualiti hidup dan masa saya dengan melayari tiktok. Pendek kata buang masa dan tak bermanfaat kerana tidak ada tujuan khusus saya menggunakannya.

Maka, saya memutuskan untuk menghadkan penggunaan tiktok dan akan membukanya sekiranya perlu sahaja terutama apabila saya ingin mencari sesuatu info atau maklumat yang penting sahaja.

Saya beri satu contoh, baru-baru ini saya mencari idea untuk mendekorasikan meja study di dalam bilik saya. 

Sekiranya kita menggunakan tiktok secara bijaksana, terdapat pelbagai idea yang boleh diambil untuk dijadikan sebagai inspirasi. 

Selain itu, saya juga pernah melayari tiktok untuk membantu saya membuat pilihan sama ada ingin membeli sesuatu produk atau pun tidak dengan melihat video review atau perbandingan produk di situ.

Caranya mudah sahaja, anda perlu taip sahaja kekunci untuk mendapatkan video yang anda mahukan. 

Jadi, aplikasi itu tidak salah, yang salahnya ialah cara kita menggunakannya. Adakah kita menggunakannya untuk perkara bermanfaat atau pun sebaliknya.