Friday, August 30, 2019

Review Buku: Amalan 24 Jam Dalam Kehidupan Rasulullah

Assalamualaikum

Review buku: Amalan 24 jam dalam kehidupan Rasulullah SAW
Penulis: Zulkarnain Dollah
Penerbit: PTS
Bilangan muka surat: 88 m/s



Pasti kita semua tahu yang Rasulullah adalah contoh tauladan terbaik yang diutus oleh Allah SWT kepada kita; umat akhir zaman.

Tanpa kita sedari kita menelusuri kehidupan ini berlandaskan apa yang kita pelajari dalam masyarakat sekeliling tanpa kita mencontohi akhlak sebenar (iaitu akhlak Rasulullah SAW) sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT dalam menjalani kehidupan ini.

Pada entri kali ini, saya cuba untuk menyenaraikan beberapa sunnah yang jarang kita buat atau ambil tahu. Bagi saya, buku ini walaupun kecil dan nipis, tapi isinya padat buat panduan permulaan untuk kita mencontohi akhlak dan sunnah Baginda SAW. 

Apabila mencontohi Nabi SAW, bukan sahaja mendapat pahala, bahkan juga kita akan semakin dekat dengan Allah SWT. 

Antara Sunnah-sunnah Nabi yang dapat saya petik sedikit sebanyak adalah (catatan ringkas sahaja):

Sunnah berkaitan Wuduk
1. Berkumur
2. Memasukkan air ke dalam hidung sehingga ke pangkal hidung
3. Menjimatkan penggunaan air ketika mengambil wuduk
4. Membaca doa selepas mengambil wuduk
5. Solat sunat selepas wuduk

Sunnah berkaitan masjid
1. Masuk menggunakan kaki kanan
2. Baca doa masuk masjid

3. Solat sunat tahiyyatul masjid (Ia boleh dilakukan dalam waktu haram solat)
4. Baca doa keluar masjid
5. Keluar masjid menggunakan kaki kiri

Sunnah ketika hendak tidur
1. Membaca basmalah
2. Membaca doa tidur
3. Membaca 3 Qul sebanyak tiga kali setiap surah dan menghembuskannya ke tapak tangan dan ke seluruh badan
4. Membaca Ayat Qursi
5. Zikir (Bertasbih- 33x, bertahmid-33x dan bertakbir-34x)
6. Tidur mengiring ke kanan
7. Letakkan tangan kanan di bawah pipi kanan

Sunnah ketika bangun tidur
1. Sapu muka
2. Baca doa bangun tidur
3. Bersugi

Sunnah ketika makan
1. Makan duduk
2. Menjilat makanan di bekas makanan dan jari jemari
3. Kutip makanan yang jatuh,menbersihkannya dan makannya semula

Sunnah ketika minum
1. Minum dengan tangan kanan
2. Duduk ketika minum (Rasulullah menegah minum sambil berdiri)

Sunnah dalam hal-hal berkaitan ibadat (eg solat) 
1. Rasulullah menggalakkan kita supaya melakukan solat sunat dhuha kerana mengikut sabda Rasulullah, dalam badan kita mempunyai 360 sendi dan pahala solat sunat dhuha adalah sebanyak 360 sedekah. Kesemua tulang itu memerlukan kepada sedekah bagi membalas segala nikmat kurniaan Allah SWT
2. Solat sunat rawatib juga dititikberatkan oleh Baginda SAW
3. Apalagi Qiamullail ibadah yang paling disukainya
4. Solat Sunat sebelum subuh itu pahalanya yang lebih baik daripada dunia dan segala isinya 
5. Membaca surah selepas Al-Fatihah pada dua rakaat yang pertama
6. Membaca doa ini di tahiyat akhir

7. Banyakkan doa ketika sujud kerana waktu itu adalah paling hampir dengan Allah SWT
8. Duduk istirahah semasa dalam rakaat pertama dan ketiga
9. Bertasbih, bertahmid dan bertakbir 33x selepas selesai solat
10. Membaca ayat Kursi selepas solat

Selain itu, Rasulullah juga rajin membaca zikir ketika waktu pagi dan petang yang sekarang ini terangkum sebagai Ma'thurat.

Dan untuk tips-tips dan amalan-amalan selebihnya jangan lupa untuk membeli buku ini. Ringkas, tepat dan padat dan senang difahami. Harganya pun berpatutan dan sangat murah untuk dibeli dan dibaca oleh seisi keluarga.  


Thursday, August 29, 2019

Review Novel: IBU

Assalamualaikum

Hari ini setelah sekian lama aku malas nak post apa-apa di ruangan blog aku. Akhirnya aku kembali lagi ke ruangan blogku ini.

Kali terakhir aku tulis di blog ini ialah pada tahun 2017, iaitu dua tahun yang lalu. Adakah aku masih lagi ada skill untuk menulis setelah sekian lama? Sekarang pun dah hampir ke penghujung tahun 2019. Lama benar tak menaip atau menulis di sini.

Untuk entri kali ni, aku ingin buat satu review tentang sebuah buku yang baru aku habis baca semalam. Buku ni aku beli di Big Bad Wolf  yang diadakan di Mydin, Gong Badak baru-baru ini.

Untuk pengetahuan, aku lebih suka membaca buku yang berkisar tentang kemasyarakatan, realiti yang berlaku dalam masyarakat kita sekarang, seperti isu kebejatan sosial. Aku kurang menggemari tema cinta yang melampau dalam sesebuah novel.

Tajuk buku: Ibu
Penulis: Abdul Rashid Ngah
Penerbit: ITBM


Novel ini mengisahkan tentang seorang wanita yang bergelar ibu, yang melalui pahit maung dalam kehidupannya dalam membesarkan anak-anaknya. Ibarat peribahasa Bahasa Melayu yang berbunyi; sudah jatuh ditimpa tangga, ibu ini hidup keseorangan setelah kematian suami dan anak-anaknya berturut-turut.

Novel ini digarap dengan baik dengan menggunakan latar belakang sebuah kampung yang terletak agak jauh dari bandar di sebuah negeri iaitu Negeri Terengganu.

Ibu ini cukup kuat diuji terutamanya dalam menghadapi dugaan demi dugaan berkenaan anak lelakinya yang jujur namun berkawan dengan budak jahat yang akhirnya menariknya ke jalan yang sesat. Atas pengaruh rakannya, dia akhirnya terjebak dengan najis dadah dan akhirnya meninggal dalam keadaan yang hina.

Sepanjang aku membaca novel ini, aku jadi tertanya-tanya, siapakah lelaki yang digambarkan sangat baik yang bernama Ludin yang diperkenalkan pada awal novel ini. Adakah dia benar-benar seorang yang baik atau sebaliknya.

Aku suka baca novel ini kerana penceritaannya menarik, tidak bosan walaupun jalan ceritanya sering kita dengar dan selalu berlaku dalam masyarakat. Penulis banyak menggunakan unsur flashback. Kita akan dapat tahu sedikit demi sedikit apa yang terjadi kepada watak utama dari bab ke satu bab yang lain sehinggalah kepada bab yang terakhir.

Saya sangat menggalakkan novel ini dibaca.
Saya bagi 4.5 bintang