Sunday, May 29, 2022

Review Air Optix plus Hydraglyde

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum

Hari tu saya ada janji nak review contact lens Air Optix plus Hydraglyde kan?

Setelah memakainya untuk dua minggu……..

So this is it!

Sebelum ini saya telah mencuba beberapa jenis contact lens tetapi kesemuanya tidak sesuai dengan mata saya. Ada contact lens yang mencengkam mata saya kerana saiznya yang kecil dan ada juga yang menyebabkan mata saya berasa kurang selesa kerana masalah mata kering yang saya alami.

Walaubagaimanapun saya tidak berputus asa mencari contact lens yang sesuai dengan mata saya. Setelah mendapati contact lens yang berdiameter 14.0 mm tidak sesuai dengan saiz mata saya kerana saiznya yang kecil, saya ingin mencari contact lens yang saiznya lebih besar sedikit iaitu yang berdiameter 14.2 mm (kerana standard saiz contact lens ialah 14.2 mm). 

Selain itu, kandungan air (water content) contact lens juga memainkan peranan dalam memberikan keselesaan kepada pemakai contact lens. Kandungan air yang tinggi boleh menyebabkan mata mudah menjadi kering kerana semakin tinggi kandungan air, semakin banyak air yang contact lens perlukan untuk memastikan ia sentiasa berada dalam kelembapan yang optimum. Contact lens yang mempunyai kandungan air yang tinggi akan menyerap air mata dengan lebih banyak berbanding contact lens yang mempunyai kandungan air yang rendah. 

Jadi, untuk individu yang mempunyai masalah mata kering seperti saya, adalah disarankan untuk memilih kandungan air yang rendah (kurang daripada 50%).   

Disebabkan masalah mata kering yang saya alami, jadi ciri-ciri contact lens yang sesuai dengan mata saya ialah:

    A) Berdiameter 14.2 mm (dengan base curve 8.6)

    B) Kandungan air yang rendah iaitu di bawah 50% 

   C) Diperbuat daripada material Silicone Hydrogel (SiHy) - kerana kandungan tembusan oksigen yang tinggi dan sangat sesuai untuk mata kering

Dan contact lens yang menepati kesemua ciri-ciri di atas adalah contact lens daripada jenama Alcon iaitu Air Optix plus Hydraglyde dengan Smartshield technology.

Kelebihan yang ada pada contact lens ini adalah kerana Hydraglyde Moisture Matrix di permukaan contact lens dapat membantu mengekalkan kelembapan yang berpanjangan. Ciri ini sangat penting dan amat diperlukan untuk individu yang mengalami masalah mata kering (yang tidak severe - penting)

HydraGlyde® Moisture Matrix is a proprietary moisture technology designed for moisturizing soft contact lenses, and specially designed for silicone hydrogel lenses. It works to keep the lens surface moist throughout the day.

Manakala dengan penggunaan teknologi Smartshield, ia boleh melindungi contact lens daripada mendapan deposit-deposit agar contact lens kekal bersih sehingga boleh membuatkan pemakai berasa selesa untuk pemakaian sehingga ke hari yang ke-30.

SmartShield® Technology delivers an ultra-thin protective layer to help shield your lenses from irritating deposits all month long.

Pengalaman pemakaian contact lens Air Optix plus Hydraglyde with Smartshield Technology

Kali pertama memakai contact lens jenis ini, mata saya berasa lebih selesa tidak seperti contact lens sebelum ini yang seolah-olah mencengkam mata saya. Malah, pergerakan contact lens di dalam mata berasa lebih lancar dan tidak tersekat-sekat. Dan yang paling mebahagiakan adalah penglihatan saya sentiasa jelas di setiap sudut pandangan daripada pagi sehingga ke petang. 

Walaupun saya mempunyai masalah mata kering, tetapi contact lens ini tidak menyebabkan mata saya berasa kering langsung walaupun di dalam tempat berhawa dingin. Selalunya sebelum ini mata saya kerap berasa kering terutama selepas lima hingga ke enam jam pemakaian. Tetapi, saya tidak mengalami masalah seperti itu lagi dengan contact lens ini.

Oleh sebab itu, saya membuat keputusan untuk meneruskan pemakaian contact lens ini dan MEMILIH untuk mengekalkan contact lens ini sebagai contact lens PILIHAN saya. 

Contact lens ini layak untuk mendapat rating 9.5/10. TERBAIK! 👍

⭐⭐⭐⭐⭐

Sekiranya anda mempunyai masalah seperti saya, silalah cuba pakai contact lens ini, pasti anda tidak menyesal. 

Sekian dahulu perkongsian saya, SEMOGA BERMANFAAT!

Monday, May 23, 2022

Multipurpose Solution

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum

Terdapat pelbagai jenis contact lens di pasaran kini yang boleh didapati dengan mudah di kedai-kedai cermin mata. Kebanyakan pemakai cermin mata lebih memilih untuk beralih ke pemakaian contact lens kerana ia lebih selesa dan secara kosmetiknya wajah kelihatan lebih natural. 

Tetapi haruslah diingatkan bahawa contact lens memerlukan penjagaan yang sangat rapi. Jika tidak mematuhi arahan penjagaan yang betul, mata akan mudah terkena jangkitan kuman.

Oleh sebab itu, pemilihan air cuci contact lens atau dikenali sebagai multipurpose solutions (MPS) adalah sangat penting. Kenapa ia dipanggil sebagai ‘multipurpose solutions’?

Multipurpose solution bermaksud terdapat banyak kegunaan di dalam satu produk pencuci contact lens. Antaranya kegunaannya adalah:

A) untuk mencuci contact lens

B) untuk membilas contact lens

C) untuk menyimpan contact lens

D) untuk menyahkuman contact lens

Setiap multipurpose solution mempunyai perbezaan dari segi jumlah masa ia harus dibiarkan terendam agar segala kuman yang terdapat di permukaan contact lens dapat dihapuskan. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, anda boleh rujuk dengan optometris atau baca arahan yang ditulis di dalam pamphlet yang disediakan.

Setelah saya mencuba beberapa multipurpose solutions, sebenarnya terdapat beberapa multipurpose solutions yang sesuai digunakan untuk mata yang sensitif. (Mata saya agak sensitif sebenarnya).

Antara solutions yang sesuai adalah: RENU, OPTIFREE PUREMOIST dan BIOTRUE.

Jika anda memiliki mata yang sensitif, anda boleh memilih di antara ketiga-tiga MPS yang saya sebutkan di atas. 

Setiap MPS boleh bertahan sehingga 90 hari selepas dibuka. Jadi, sekiranya mata anda berasa merah dan gatal-gatal selepas menggunakan MPS yang anda beli, berkemungkinan mata anda perlu menukar kepada  MPS  yang lain. Anda haruslah mencubanya terlebih dahulu untuk mengetahui keserasian MPS dengan mata anda.

Sekarang saya sedang menggunakan MPS daripada Biotrue. Setelah sebulan menggunakannya saya dapati ia membantu agar mata saya sentiasa berada dalam keadaan yang lembap untuk keselesaan pemakaian contact lens sepanjang hari. Mata saya tidak menjadi merah dan gatal lagi seperti sebelum ini. Saya sangat recommend produk ini kepada sesiapa sahaja yang baru nak mula memakai contact lens dan sedang mencari-cari MPS yang sesuai.   



Keselesaan pemakaian contact lens haruslah dititikberatkan bukan sahaja dari segi pemilihan MPS tetapi dari segi pemilihan jenis contact lens juga menyumbang kepada kejayaan pemakaian contact lens.

Untuk entri yang seterusnya saya akan sambung cerita hasil pemakaian contact lens Air Optix plus Hydraglyde with Smartshield Technology pula. 😊 


Thursday, May 19, 2022

UMRAH PERTAMA (Part 2)

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum

Jom sambung kisah perjalanan umrah pertama saya dan famili.

Selepas tarikh umrah dipilih sebulat suara iaitu pada 15 Februari 2022, segala persiapan untuk menunaikan umrah dibuat. Kelengkapan umrah seperti jubah, tudung sarung, stoking dan lain-lain dicari. 

Kami menerima sebanyak tiga buah beg daripada agensi Tiram Travel:

   I) Satu beg besar

  II) Satu beg sederhana

  III) Satu beg silang kecik

Pemergian umrah yang tidak dirancang ini begitu bermakna buat kami sekeluarga. Akhirnya impian untuk menjejakkan kaki ke tanah suci dimakbulkan oleh Allah setelah bertahun-tahun lamanya kami berdoa.

Sebelum kebenaran untuk pergi menunaikan umrah diluluskan, kami semua harus menjalani ujian swab untuk memastikan bahawa tidak ada jemaah yang dijangkiti dengan virus COVID-19. Sekiranya didapati bahwa kami dijangkiti dengan virus tersebut, pemergian kami ke tanah suci akan dibatalkan. Malangnya, duit yang telah dibayar kepada travel agency tidak akan dipulangkan. 

Jadi, pada tarikh 14hb Februari iaitu 48 jam sebelum kami berangkat ke tanah suci, kami pergi menjalani ujian swab di sebuah klinik swasta yang terletak di Bukit Payong. Kehadiran kami disambut dengan hujan yang turun renyai-renyai. Bayaran yang dikenakan untuk satu ujian swab adalah sebanyak RM150 untuk seorang individu.

Sebenarnya pada masa ujian swab dijalankan, kesihatan adik tidak begitu memberangsangkan kerana adik mempunyai simptom-simptom covid seperti sakit tekak dan demam. Walaupun begitu, kami meletakkan sepenuh keyakinan dan tawakkal hanya kepada Allah kerana sekiranya kami betul-betul dijemput oleh Allah ke sana, maka tidak ada daya apa pun yang dapat menghalang kami untuk sampai ke sana.

Keputusan ujian swab keluar agak lewat dan kami semua menanti dengan penuh debaran. Dalam kesibukan melengkapkan persiapan umrah, semua keputusan telah pun keluar satu persatu. ALHAMDULILLAH semua didapati NEGATIF COVID-19. Syukur dipanjatkan kepada Allah kerana segalanya dipermudahkan olehNya. 

Impian kami untuk menjejakkan kaki ke sana tinggal sedikit masa lagi untuk menjadi realiti. Subhanallah. Segalanya berlaku hanya dengan izin Allah SWT.

Nantikan sambungan di Umrah Pertama (Part 3).


Menonton Wayang Kali Pertama

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum

Adakah anda pernah menonton wayang di pawagam? 

Saya baru sahaja pergi menonton filem Dr Strange in the Multiverse of Madness. Saya boleh katakan jalan ceritanya direct dan mudah difahami, cuma kita akan berasa seolah-olah sedang menonton filem yang banyak memaparkan tentang ilmu hitam hampir seratus peratus di dalam filem tersebut. Antara perkataan yang disebut di dalam filem tersebut ialah dajjal, illuminati, kitab darkhold (kitab ilmu hitam) dan lain-lain.


Dalam entri kali ini bukanlah saya ingin mengulas tentang filem tersebut kerana untuk menulis review tentang filem Marvel, ia sangat complicated kerana setiap filem Marvel berkait antara satu sama lain. 

Jadi, saya cuma ingin berkongsi tentang pengalaman saya menonton wayang buat kali pertama dengan classmate semasa belajar degree dahulu. Kali pertama saya menonton wayang adalah bersama dengan Mena, Zai, Nasrul dan Man. Filem pertama yang saya tonton dengan mereka ialah filem Spiderman 2. 


Saya dan Mena berasa sangat teruja pada masa itu kerana ia merupakan pengalaman pertama kami menjejakkan kaki ke panggung wayang. Haha.

Selepas daripada itu, saya sudah tidak lagi pergi menonton wayang kerana menonton wayang bukanlah satu keperluan untuk seorang student. Saya tidak mahu membazirkan duit ibu bapa saya untuk perkara yang tidak mendatangkan manfaat. Pada pendapat saya, seorang student harus tahu memanfaatkan wang saku yang diberikan dengan sebaik-baiknya. 

Setelah saya memasuki alam pekerjaan, saya dan rakan sekerja berpakat untuk mengisi waktu cuti kami dengan pergi menonton wayang di Mesra Mall. Itu adalah merupakan kerja gila yang saya pernah lakukan kerana pulang ke rumah pada lewat malam. Kami bertolak ke Mesra Mall selepas solat maghrib kerana tayangan bermula lebih kurang pada pukul 9 malam. Saya sedar kesilapan saya bahawa sebagai seorang perempuan saya seharusnya lebih berhati-hati dan tidak pulang lewat malam ke rumah hanya semata-mata untuk menonton wayang.

Selepas beberapa tahun daripada kejadian itu, barulah keinginan untuk menonton wayang datang semula. Cuma pada kali ini, saya berseorangan sahaja. Sudah tidak ada lagi sesiapa yang boleh menemani diri ini lagi. Dari itu, saya sedar bahawa semakin kita dewasa, semakin kecil circle kawan-kawan kita. 

Pada pendapat saya, tengok wayang boleh menjadi salah satu terapi untuk menghilangkan stress. Tetapi menonton wayang biarlah berpada-pada. Duit haruslah dibelanjakan dengan cara yang bijak dan berhemah. 

Tuesday, May 17, 2022

Contact Lens

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum

Saya ni daripada zaman belajar lagi nak pakai contact lens, tapi apakan daya mataku terlalu sensitif. So saya kuburkan je impian nak pakai contact lens.

Sehinggalah saya tertarik untuk mencuba contact lens Air Optix Colours. Sebelum ni saya dah banyak cuba pakai beberapa jenis contact lens yang berbeza brand tetapi tidak menjumpai yang betul-betul sesuai dengan mata saya. Kebanyakan lens yang saya pakai adalah daily lens kerana bimbang akan menimbulkan masalah di kemudian hari jika memakai contact lens jenis monthly.

Setelah mencuba contact lens jenis Air Optix, saya teringin mencuba untuk meneruskan memakai contact lens. Sekarang saya dalam tempoh percubaan mencari contact lens yang sesuai dengan mata.

Saya ingat apabila ramai yang mengembar-gemburkan bahawa contact lens berjenama Miacare itu sangat bagus kerana kadar penembusan Oksigen yang tinggi dan material diperbuat daripada jenis Silicone Hydrogel. Tetapi setelah mencubanya, saya dapati contact lens tersebut agak ketat dengan mata saya dan tidak dapat memberikan keselesaan berpanjangan.

Miacare confidence (colour grey): 

Replacement ScheduleMonthly
Water Content47%
Oxygen TransmissibilityDk/t 187.5@-3.00D
Diameter13.2mm (Color Ring) Total diameter:14.0 mm
Base Curve8.7mm
Center Thickness0.08mm@-3.00D
Power Range-0.00; -0.75 to -6.00(0.25D steps) 
-6.50 to -12.00(0.50D steps)
Visibility TintGaze Gray/ Gaze Hazel
Moisturizing AgentsHyaluronic Acid, Sodium Alginate
Package Size1 Lens per Pack

Disebabkan oleh base curve-nya besar dan saiz yang kecil (14.0 mm) - kesimpulan daripada dua minggu pemakaian, saya dapati contact lens ini agak ketat untuk mata saya yang besar ini 😂

Apabila ketat, saya berasa sangat tidak selesa dan pergerakan lens agak tidak ‘smooth’ apabila saya ingin menggerakkan mata ke kanan dan ke kiri. Oleh itu, ia menyebabkan penglihatan saya menjadi kabur dan lambat untuk melihat dengan jelas semula.

Selain itu, faktor kandungan air dalam contact lens (water content) juga, mempengaruhi ketidakselesaan saya dengan contact lens ini. Water content adalah sebanyak 47% iaitu agak tinggi untuk orang yang bermata kering seperti saya. 

Jadi, pada pendapat saya, saya kena tukar kepada: 
A) contact lens yang diameternya lebih besar
B) water content-nya lebih rendah
C) material yang sama: Silicone Hydrogel

Saya telah pergi ke kedai cermin mata Focus Point, di situ saya membeli sekotak contact lens brand Alcon iaitu Air Optix plus Hydraglyde with Smartshield Technology. 

Berdasarkan kepada kotak contact lens tersebut, parameters-nya adalah seperti berikut: 

Base Curves8.6 mm
Diameters14.2 mm
Technical Parameters
FDA GroupV
(V-Cm)
Lens MaterialSilicone hydrogel
(Lotrafilcon B)
Lens DesignAspherical
Wetting AgentsYes 
- PVP
- PEG
% of Material67%
% of Water33%
Center Thickness 0.08 mm
Oxygen Transmission138 Dk/t
Modulus1.0 MPa
Other Features
Special Features
UV BlockingNo (why??)
Dynamic Light AbsorptionNo
Visibility TintYes 
Light Blue
(VISITINT®)
Inside-out MarkNo


Jadi, saya mencuba dahulu berdasarkan kelebihan-kelebihan yang ada pada contact lens ini; antaranya adalah: 
  • SmartShield® Technology that helps to protect from irritating deposits all month long
  • HydraGlyde® Moisture Matrix longer-lasting lens surface moisture

Semoga mata saya serasilah kali ini dengan contact lens yang baru dicuba ini. 

Nanti saya buat review pulak pasal contact lens ni, okey? 😊


Sunday, May 15, 2022

UMRAH PERTAMA (Part 1)

 Assalamualaikum


Suku pertama tahun 2022 bermula dengan perancangan untuk menunaikan UMRAH yang berlaku secara tiba-tiba.

Tanpa diduga, Teh dan Ayah Teh diberikan ilham oleh Allah S.W.T untuk mengajak kami sekeluarga (ma, abah, aku dan adik) pergi mengerjakan umrah bersama mereka.

Aku kira, jika betul-betul kami sampai di sana, ini merupakan perjalanan paling jauh dan paling lama kami sekeluarga pernah pergi bersama-sama. Kerana sebelum ini, kebanyakannya kami hanya bercuti kerana balik kampung ma di Dungun dan Kemaman sahaja. Paling jauh pernah pergi berjalan bersama keluarga pun hanya ke negeri Pahang atau ke Kelantan sahaja.

Segalanya berlaku dengan begitu pantas. Walaupun pada awalnya, mengambil masa sedikit untuk memujuk dan meyakinkan ma untuk bersetuju pergi menunaikan umrah kali ini, Alhamdulillah dengan izin Allah, ma akhirnya bersetuju. 

Ma dan abah tidaklah sihat seperti orang lain. Masing-masing sudah tidak berupaya berjalan dengan lincah seperti dahulu lagi. Kerana ini merupakan pengalaman pertama kami menunaikan umrah, of coursc bermacam-macam bermain dalam fikiran ini terutamanya ibu bapa kami. 

Kami pergi menunaikan umrah dengan pakej daripada TiramTravel Sdn Bhd. Travel agency ini berpusat di negeri Johor dan ada membuka cawangan di Kuala Terengganu.

Segala urusan kebanyakannya diuruskan oleh Ayah Teh, Kami sangat berbesar hati dan terhutang budi kepada keluarga Teh dan Ayah Teh atas kesudian mengepalai perjalanan umrah kita pada kali ini.

Disebabkan kami pergi ketika musim pandemik Covid-19, kerajaan telah membuat satu pengumuman tergempar apabila perjalanan umrah yang bermula 8 Januari dan ke atas hendaklah ditangguhkan sehingga ke tarikh yang akan diumumkan kelak. Mengikut kenyataan daripada Menteri Kesihatan, sebagai langkah keselamatan, perjalanan umrah disekat selama sebulan sehingga situasi di Mekah dan Madinah dilaporkan selamat. Hal ini berlaku berikutan bilangan kes varian Omicron meingkat dalam kalangan warga umrah.   

Alhamdulillah, Allah benar-benar menjemput kami ke sana. Setelah sebulan daripada pengumuman dibuat, akhirnya kami dibenarkan untuk menunaikan umrah tetapi kami harus memilih tarikh baru untuk ke sana. Dan tarikh tersebut dipilih berdasarkan kepada jumlah ‘seat’ yang kosong dalam kapal terbang yang cukup untuk menempatkan kesemua sembilan orang.

Tarikh tersebut adalah antara bulan 15 Februari atau bulan Mac. Kami memilih untuk pergi pada bulan Februari kerana dibimbangi jika akan berlaku lagi perubahan yang mengejut daripada pihak kerajaan. Selain itu, salah seorang daripada kami hanya boleh mengambil cuti yang panjang sehingga bulan Februari sahaja kerana kekangan jadual kerja. 

Setelah semuanya selesai dan bersetuju dengan tarikh baru tersebut, aku dengan penuh tawakkal berserah kepada Allah sekiranya benar aku dijemput olehMu ke sana, permudahkanlah urusanku kerana aku masih belum mendapat pengganti untuk menguruskan tugas-tugas aku sebagai optometris di kedai. Aku rasa sedikit stress kerana hati ini benar-benar ingin ke sana tetapi kekangan-kekangan dan cabaran yang aku hadapi ini sedikit sebanyak menggusarkan hati aku.

Kata adik, ‘Allah pasti mudahkan dan bukakan jalan untuk kita sekiranya benar-benar Dia ingin menjemput kita ke sana, insyaAllah there is always miracle last minute.’

Allah gerakkan hati aku untuk meletakkan iklan mencari lokum di story instagram aku. Dan tidak aku sangka, Allah menggerakkan hati Ainun untuk menggantikan tempat aku buat sementara waktu sepanjang aku di sana. Maka, dapatlah aku mengerjakan ibadat dengan hati yang tenang. Segalanya boleh berlaku dengan izin Allah. Tinggal cuma kita harus yakin. Tidak ada perancangan Allah yang sia-sia. 

So setakat ini dahulu untuk Part 1 UMRAH. InsyaAllah akan disambung pada masa akan datang.