Thursday, July 14, 2022

Umrah Pertama (PART 4)

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum wbt


Terdapat banyak pengalaman yang tak dapat dilupakan sepanjang berada di Madinah. Ditambah pula dengan cuaca yang sejuk (lebih kurang 9-20 degree Celcius sahaja) terasa seperti sedang bercuti di London. haha

Kalau dah pernah sampai di sini sekali, mesti akan rasa nak pergi lagi dan lagi. Tidak akan pernah rasa puas meluangkan masa di bumi Madinah ini. Sepanjang berada di sana, kami hanya fokus kepada ibadah semata-mata dan terus lupa tentang hal ehwal duniawi.

Benarlah seperti hadis Nabi SAW, 

Sesungguhnya amal perbuatan kita itu bergantung kepada niat. Semasa kita di Malaysia lagi niat kena pasang dengan betul dan letakkan azam untuk melakukan ibadah yang terbaik semasa berada di sana nanti. 

Pandanglah Masjid Nawbawi dengan bersungguh-sungguh. Kerana entah bila lagi kita akan sampai di sana semula. Entah bila lagi peluang untuk berjumpa dengan Rasullullah akan terbuka lagi untuk kita. Berdoalah kepada Allah agar kita dijemput semula pada masa akan datang. 

Melihat Kubah Hijau, membuatkan kita teringat kepada Rasulullah SAW. Moga dengan asbab kita ke sana, doa-doa kita dimakbulkan oleh Allah dan kita berusaha berubah menjadi insan yang lebih baik sesudah sampai di bumi Malaysia ini. 

Antara perkara yang kena cuba bila sampai di sini ialah buah kurma freeze dan ais krim bumi Anbiya’. Sekali cuba pasti nak lagi. 😋

Bersambung ……

Friday, July 1, 2022

Umrah pertama (part 3)

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum

Jom ikuti sambungan cerita umrah pertama saya (Part 3). 

Kini tibalah masa yang ditunggu-tunggu iaitu hari kami akan melalui perjalanan yang panjang dan jauh dengan menaiki kapal terbang ke kota suci Madinah. Pada pagi tersebut seperti biasa sebelum seseorang ingin pergi menuanaikan umrah, sanak saudara akan berkumpul dan doa akan dibacakan. Ini bertujuan untuk memohon kepada Allah agar musafir kali ini mendapat perlindungan dan rahmatNya. 

Hujan turun dengan sangat lebat pada pagi tersebut. Selesai laungan azan dan bacaan doa, kami menaiki kapal terbang di Lapangan Terbang Sultan Mahmud untuk ke bertolak ke Kuala Lumpur International Airport (KLIA)

Penerbangan kami yang seterusnya adalah pada pukul 3 petang dari KLIA ke lapangan terbang Madinah. Perjalanan kami ke Madinah dijangka mengambil masa selama 8 jam. Itu adalah merupakan kali pertama saya menaiki kapal terbang untuk perjalanan sejauh dan lama begitu. 

Makanan tengah hari telah siap sedia dibeli oleh Kak Ngah dan kami makan atas lantai sahaja. Haha. Bila teringat balik terasa kelakar pun ada. Sesungguhnya perjalanan ini bukanlah perjalanan untuk bersantai-santai melainkan ia merupakan sebuah perjalanan yang dimulai dengan niat untuk beribadah semata-mata kerana Allah.

Setelah itu, Kami menaiki train untuk ke penerbangan antarabangsa dari KLIA. Setelah semua penumpang masuk dan mengambil tempat masing-masing, maka bermulalah perjalanan kami ke Madinah. Lebih kurang 8 jam kami berada di dalam perut kapal terbang, akhirnya kami sampai di lapangan terbang Madinah pada pukul 8 malam waktu Madinah. Malam terasa sangat panjang seperti tiada siangnya. Baru sahaja kedengaran azan maghrib pada pertengahan perjalanan di dalam kapal terbang dan masih lagi maghrib seusai kami sampai di Madinah iaitu pada pukul 8 malam dan ini berlaku kerana perbezaan zon waktu antara tempat tersebut.

Setelah selesai mengambil beg masing-masing, kami menaiki bas ke hotel penginapan. Alhamdulillah syukur kerana hotel yang dalam pakej adalah hotel yang paling dekat dengan Masjid Nabawi. Oleh sebab saya tidak pernah sampai di sini, saya terkedu melihat Masjid Nabawi, antara percaya dan tidak apabila melihat Masjid Nabawi betul-betul berada di hadapan mata.

Saya bermonolog di dalam hati, ‘Betul ke ini Masjid Nabawi?, dekat sangat dengan hotel.’

Walaupun kami tiba awal di hotel pada malam tersebut, tetapi pada pukul 2 pagi barulah kami boleh masuk tidur kerana ada beberapa urusan perlu diselesaikan segera seperti urusan pembahagian bilik, mengambil kunci bilik dan mendaftar dan ‘booking’ jadual ibadah di dalam application EATMARNA dan TAWAKKALNA.

Oleh sebab kami pergi ketika musim COVID masih belum berakhir dan reda, jadi segala urusan keluar masuk masjid mestilah di booking terlebih dahulu melalui aplikasi tersebut. Kad Sim mesti dibeli agar kami boleh mengakses kedua-dua aplikasi tersebut. 

Perkara yang paling penting sekali apabila sampai di sana adalah untuk booking tarikh kemasukan ke ROUDHAH kerana terdapat limitasi waktu dan jumlah pelawat untuk masuk ke sana. Setelah aplikasi di aktifkan, kami terus booking tarikh untuk ke Roudhah. (PENTING!)

Seorang pelawat dibenarkan untuk masuk SEKALI sahaja dan akan dibenarkan untuk masuk semula melalui aplikasi, selepas sebulan. Jadi, tanpa aplikasi tersebut, semua orang tidak boleh dengan sewenang-wenangnya masuk ke dalam Roudhah kerana ia dikawal dengan sangat ketat.

Walaupun kedengaran agak strict tetapi kelebihan masuk dengan aplikasi ini adalah kami tidak perlu berebut-rebut dengan orang lain dan boleh masuk mengikut giliran dengan aman damai. Tidak ada adegan bertolak-tolakan, pijak memijak dan lain-lain. Suasana amat tenang dan kami boleh bersembahyang agak lama di dalam Roudhah tersebut. Alhamdulillah rezeki daripada Allah untuk kami semua. 

Bilangan jemaah tidak terlalu ramai kerana ada beberapa negara masih tidak memberi kelulusan kepada rakyat mereka untuk pergi menunaikan umrah lagi. Jadi, suasana di Masjid Nabawi terasa seperti kita berada di masjid di Malaysia sahaja, kerana terasa tenang setenang-tenangnya dan tidak terlalu crowded.