Tuesday, October 25, 2022

BOWLING TOURNAMENT

Assalamualaikum

Bismillahirrahmanirrahim



Baru-baru ini telah diadakan pertandingan bowling antara jabatan. Tempat pertama dirangkul oleh Jabatan Kecemasan kerana team mereka semua power-power. 

Aku lagilah antara pemain paling lembik sekali hahaha. Kami ingatkan pertandingan hanya dibuat satu round sahaja tetapi rupanya kami dikehendaki bermain untuk tiga round. 

Habis sakit-sakit urat tangan dan badan selepas bermain kerana membaling bola yang berat tersebut. Hahah.

Walaupun kalah, tetapi kami seronok bermain haha.

Kesimpulannya aku ni kena kuatkan otot tangan biar jadi perkasa sedikit macam badang tu hahahaha.

Next time, boleh main lagi sebab seronok rupanya main bowling ni hehe. B

Al-Fatihah, Tok Mek

Assalamualaikum

Bismillahirrahmanirrahim



Pada hari Sabtu yang lepas, kami dikejutkan dengan berita Tok Mek dikejarkan ke hospital kerana dikatakan telah terjatuh di dalam bilik air. 

Rupa-rupanya, Tok Mek terjatuh disebabkan oleh strok di dalam kepala atau dikenali sebagai HEMORRHAGIC STROKE

Strok di dalam kepala tersebut telah mengakibatkan pendarahan yang serius di dalam kepala. Tok Mek telah dimasukkan ke Wad 1CD di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). 

Selepas mengetahui berita tersebut, aku bergegas ke hospital selepas pertandingan bowling antara jabatan yang diadakan di Paya Bunga Square (PBS). Aku sedih melihat keadaan Tok Mek yang pada ketika itu dalam keadaan tidak sedarkan diri dan terlantar di atas katil. Beliau menggunakan alat bantuan pernafasan dan mengikut perkiraan doktor, Tok Mek tidak mempunyai banyak masa lagi kerana keadaannya yang kritikal.

Pada waktu pagi keesokan harinya iaitu pada hari Ahad, Tok Mek telah dipanggil pulang ke Rahmatullah dan kini Tok Mek sudah tiada buat selama-lamanya.

Setelah jenazah diuruskan, kami semua berkumpul di rumah arwah untuk disembahyangkan. Jenazah akan disembahyangkan selepas solat Zuhur.

Arwah sangat dikenali sebagai seorang yang setia di sisi suaminya dan sangat bermurah hati memberikan makanan kepada orang ramai. 

Aku tidak dapat menahan sebak semasa melihat keadaan Tokki yang kesedihan dengan berita pemergian arwah. Tokki sememangnya bergantung sepenuhnya dengan arwah Tok Mek. Semoga tokki tabah dan mampu menerima berita ini dengan berlapang dada. 

Kami pasti akan merinduimu dan rindu untuk menjamah masakan arwah. Semoga arwah di tempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. B


 

Monday, October 24, 2022

MESYUARAT BERSAMA TENDER

Assalamualaikum

Bismillahirrahmanirrahim




Pada hari Khamis minggu lepas saya telah menghadiri mesyuarat bersama tender di Bilik Mesyuarat Ar-Razi, HPUniSZA. 

Mesyuarat bersama tender adalah berkenaan dengan makluman ketersediaan peralatan yang dibeli semasa Perolehan Fasa 1. Mesyuarat tersebut dihadiri oleh seramai lapan orang wakil daripada Jabatan Oftalmologi. 

Nampaknya, pembekal daripada Pharmaniaga mengesahkan bahawa semua peralatan untuk Jabatan Oftalmologi dalam senarai Modul 21 Perolehan Fasa 1 boleh disediakan sebelum tarikh akhir. Semoga segalanya berjalan dengan lancar. B

Monday, October 17, 2022

It is a wrap!

Assalamualaikum

Bismillahirrahmanirrahim



Hari ini merangkap hari penghabisan dalam pembikinan filem pendek untuk penyertaan pertandingan video pendek sempena bulan kesihatan mental UniSZA.

“KESEJAHTERAAN MENTAL, KEUTAMAAN SEJAGAT” dipilih sebagai tema untuk sambutan kesihatan mental pada kali ini. Oleh itu, peserta dikehendaki membuat sebuah video pendek berpandukan tema tersebut. 

Pertandingan ini aku sertai dengan seorang rakan daripada Jabatan Oftalmologi HPUniSZA. Kami memerah otak mencari idea demi projek pertama kami ini. Selain dapat menghasilkan sebuah video, kami juga boleh menjadikan gerak kerja ini sebagai satu wadah untuk mengeratkan lagi hubungan sesama staf, almaklumlah masih baru berkenalan lagi. 

Kami harap, kami akan dinobatkan sebagai PEMENANG nanti. Berangan kan PERCUMA! Hehe.. Tapi tolong AMIN kan ye semua. Mana tahu REZEKI berpihak kepada kami. 

Semoga dengan penghasilan video tersebut dapat menjentik sifat empati dan cakna dalam kalangan penonton terhadap masyarakat sekeliling yang mungkin sedang mengalami masalah mental.B 

Sunday, October 16, 2022

Trachoma

Assalamualaikum

Bismillahirrahmanirrahim




Antara penyebab kebutaan paling tinggi di dunia ialah katarak dan kelegapan kornea (corneal opacity). Penyebab utama kepada corneal opacity datang daripada penyakit Trachoma. 

Topik yang akan kita sentuh hari ini adalah berkenaan dengan penyakit di negara-negara miskin iaitu Trachoma yang disebabkan oleh sejenis bakteria yang dikenali sebagai bakteria Chlamydia trachomatis.

Pertama kali saya mendengar tentang penyakit ini adalah ketika di bangku universiti di dalam kelas Brother Azuwan. Pada ketika itu, pensyarah saya itu baru sahaja pulang daripada menyambung pelajaran Master dalam bidang Low Vision (Penglihatan Terhad) di India. 

Antara punca yang boleh menyebabkan tersebarnya bakteria ini dalam kalangan masyarakat adalah kerana kurangnya kesedaran berkenaan dengan penjagaan kebersihan diri. Bakteria ini boleh tersebar melalui sentuhan tangan yang kotor dan lalat. Dalam satu soal selidik yang pernah dibuat, asbab kurangnya membasuh muka lebih memudahkan seseorang individu tersebut dijangkiti dengan penyakit ini.

Penyakit ini berubah kepada beberapa peringkat dan ia berlaku di sekitar kawasan luaran mata iaitu di bahagian conjunctiva dan kelopak mata. Pada peringkat awal, mata akan berubah menjadi merah dan gatal-gatal sehinggalah kepada terbentuknya folikel kecil di bahagian kelopak mata dalam (upper tarsal conjunctiva) lalu menjadi parut keputihan (upper tarsal conjunctiva) dan di peringkat akhir terjadinya keputihan di bahagian tengah kornea kerana trichiasis dan entropion yang menyebabkan bahagian tengah kornea tercalar lalu menjadi legap (opacity).

Oleh itu, satu rangka strategi telah dicadangkan untuk mengawal endemik Trachoma. Strategi SAFE telah diperkenalkan di mana S-A-F-E terbina daripada ringkasan perkataan;

S - SURGERY, 

A - ANTIBIOTICS, 

F - FACIAL HYGIENE dan 

E - ENVIRONMENTAL IMPROVEMENT. 

Selain pembedahan dan pembekalan ubat antibiotik yang kesannya mungkin bersifat sementara, pencegahan penyakit ini boleh dilaksanakan dengan dua strategi terakhir daripada rangka SAFE iaitu dengan memberi kesedaran tentang kepentingan menjaga kebersihan terutamanya kerapkan mencuci muka dengan air yang bersih dan juga memudahkan akses kepada bekalan air yang bersih di kawasan luar bandar. B



Friday, October 14, 2022

My teacher, Leong

Assalamualaikum

Bismillahirrahmanirrahim



Saya berasa sangat bertuah dan bersyukur kerana kawan saya; Leong sudi untuk membantu memahamkan saya dengan topik corneal topography. Leong siap sediakan slide presentation sebagai bahan mengajar. Cayalah! The effort is tiptop! Pengajian kami dibuat hanya secara atas talian kerana keterbatasan jarak antara kami berdua.

Sepanjang mengenali Leong, beliau merupakan seorang kawan yang sangat suka membantu kawan-kawannya terutamanya dalam pelajaran. Kelas hari ini berlangsung selama sejam bermula pada pukul 3.30 petang sehingga 4.30 petang. Terima kasih Leong, nanti I belanja you Starbucks lah. Hahah. B

Di hari kejadian: WSD 2022

Assalamualaikum

Bismillahirrahmanirrahim




Setelah membuat persiapan hampir dua minggu, akhirnya tibalah hari yang ditunggu-tunggu. Aku sampai awal di tempat saringan iaitu lebih kurang pada pukul 7.15 pagi. Sementara menanti ketibaan kawan-kawan yang lain, aku membawa kawan sekerja aku dari Unisza melawat sekitar kawasan program. 

Boleh dikatakan program screening pertama EOC berjalan dengan lancar dan semua pihak tahu memainkan peranan masing-masing. Booth kami sesak dengan ramai pengunjung dari awal sampai ke akhir program. Paling seronok sekali kerana ramai yang berkunjung bukan sahaja mahu mendapatkan pemeriksaan mata percuma dan merebut peluang membuat cermin mata pada harga berpatutan malahan mereka singgah kerana mahu mengambil bahagian dalam sesi kuiz dan cabutan bertuah.

Walaupun jemputan kebanyakannya datang daripada kakitangan agensi kerajaan, tetapi program kali ini tetap mendapat sambutan hangat daripada mereka. Program sambutan Hari Penglihatan Sedunia ini merupakan program julung kalinya diperkenalkan kepada orang awam di Terengganu ini. Mungkin sebelum ini tidak banyak pendedahan diberikan kepada mereka, jadi kali ini diharapkan pendedahan seperti ini menambah satu lembaran pengetahuan yang baru tentang kepentingan menjaga penglihatan terutamanya melalui penjagaan kesihatan dengan mengawal pengambilan makanan yang tidak sihat. 

Kami bersurai sekitar pukul 6 petang. B

Wednesday, October 12, 2022

Team EOC di World Sight Day 2022

Assalamualaikum

Bismillahirrahmanirrahim



World Sight Day 2022 dengan tema ‘Love Your Eyes’ akan dilangsungkan buat julung kalinya di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu di bawah anjuran Hospital Sultanah Nur Zahirah. Team EOC berpeluang untuk membuat saringan kesihatan mata di sana. Saya telah ditugaskan untuk membantu team EOC membuat persiapan saringan kesihatan mata kerana program ini merupakan program saringan kesihatan mata pertama EOC. Tidak banyak yang dapat saya bantu kerana kekangan waktu kerja. Tetapi, Alhamdulillah, segala persiapan telah dibuat dengan rapi dan kami berharap semuanya akan berjalan dengan lancar esokB

Tuesday, October 11, 2022

Guess my age

Assalamualaikum

Bismillahirrahmanirrahim



Can you guess my age? This picture was taken on the 30th IIUM Convocation. I was graduated that day along with my friend with Bachelor of Optometry (Hons). After graduation, we rarely see each other because we live so far from each other.

Most of my classmates open thier own optical shop. You can find everywhere from Pahang, Terengganu to Kelantan.

If in most of Pahang area, it is dominated with FS Optical Shop. There is one in Muadzam Shah belong to Kak Jannah; or known as Nurjannah Optometry.

In Kuala Terengganu area we have Sanadi Hadi Optometry, Ideen Optometry and Eyemolec Optometry . 

In Selangor area, there is one optical shop belongs to Watip while Mena and Syuk has four branches of optometry clinic called As Sakeenah Optometry covered most of Teluk Panglima Garang area.

While in Kelantan,  Jazli owns Evoview Optometist. The first branch is in Pasir Mas and the second one is in Kota Bharu.

All becoming tauke already. It is a long-term investment and can pass to anak-cucu you know haha.

We never had formal reunion involving everyone yet. It is difficult to gather everyone in one place due to distance limitations.

I miss to meet everyone but can watch them secretly through social media only. I did follow some of them, some of them I don’t know where they are. Haha. 

Whatever optometry field we choose, may success always be our friend. Good luck everyone and pray for me too. As I am adapting to the new environment. Haha. I think this is the transition of my life, being here and there in different places. 

Till we meet again! B


Monday, October 10, 2022

Apa itu NEURO-LINGUISTIC PROGRAMME (NLP)?

Assalamualaikum

Bismillahirrahmanirrahim




Pada kali pertama mendapat surat jemputan untuk ke bengkel tersebut, aku tertanya-tanya apakah Neuro Linguistic Programme? Apa yang terlintas di fikiranku pada waktu itu adalah adakah ia merupakan sebuah bengkel untuk mengajar seseorang bercakap atau adakah ia mempunyai perkaitan antara neuro dan komunikasi? Tetapi kalau begitulah maksudnya, apakah pula kaitan NLP itu dengan sebuah hospital? Macam tak ada kena mengenalah pula.

Maka, pada hari ini, aku menghadiri bengkel berkenaan dengan NLP yang disampaikan oleh saudara penceramah yang tidak asing lagi iaitu; Encik Ahmad Termizi bin Ab Aziz. 

Ucapan alu-aluan pembuka bengkel telah disampaikan oleh pengarah hospital sendiri, Prof. Dato’ Dr. Ahmad Zubaidi bin A. Latif. 

Mungkin tidak ramai yang pernah mendengar tentang NLP. Objektif NLP ialah agar seseorang individu dapat mengendalikan keadaan diri di mana kejayaan mengawal keadaan diri bergantung kepada kejayaan seseorang itu mengawal emosi dan fizikal kita dengan mengawal cara kita berfikir.

Hal ini dapat dibantu dengan mengamalkan inkantasi iaitu bercakap perkara yang positif tentang diri sendiri terutamanya pada setiap pagi sebelum memulakan apa-apa kerja. Dan semestinyalah cara kita berfikir itu berpandukan kepada iman dalam hati. 

Rupa-rupanya setelah beberapa jam berada dalam bengkel tersebut, barulah dapat dilihat perkaitan antara NLP dengan hospital. NLP bertujuan agar dapat membetulkan mindset atau cara kita berfikir atau pun niat kita menjadi anggota kakitangan hospital UniSZA adalah kerana Allah Taala. Jadi, apa pun yang berlaku kepada kita, hati dan pegangan kita tidak akan mudah goyah kerana kita lakukan semata-mata kerana Allah. Jika sesuatu perkara itu tidak menjadi seperti yang kita inginkan walhal kita telahpun mengamalkan prinsip-prinsip yang telah dipelajari di dalam bengkel NLP, tidak mengapa kerana Allah itu ada. ‘Buat kerana kita nak buat, bukan sebab nak dapatkan penghargaan daripada orang lain’.

Bengkel tamat lebih kurang pada pukul 1 tengah hari. Setelah menyertai bengkel ini, saya dapati fikiran dan hati saya lebih tenang dan dapat mengubah pengalaman negatif yang saya pendam selama ini, beransur hilang daripada kotak memori saya. B

Sunday, October 9, 2022

LOCUM EOC

Assalamualaikum

Bismillahirrahmanirrahim



Hari Sabtu semalam saya locum di EOC. Pelanggan mula datang lebih kurang pada pukul 11.30 pagi. Ada yang merupakan pelanggan lama atau regular dan ada yang merupakan pelanggan baru. 

Kami pulang agak lewat semalam, lebih kurang pada pukul 6.50 petang kerana masih ada lagi pelanggan yang tiba pada pukul 6 petang. Mesti masyuk ah semalam haha. B

Friday, October 7, 2022

JOM HEBOH DI TERENGGANU?

Assalamualaikum

Bismillahirrahmanirrahim


Karnival Jom Heboh datang lagi ke Kuala Terengganu. Kali pertama ia diadakan adalah kira-kira lebih daripada 10 tahun yang lalu iaitu pada tahun 2011. Kemeriahan sambutan Karnival Jom Heboh dengan dentuman lagu Let’s Get Loud begitu menggamitkan suasana. Akhirnya selepas 10 tahun, Karnival Jom Heboh datang lagi ke Kuala Terengganu pada tahun ini (2022), pasca COVID-19.

Kemeriahannya masih sama cuma perbezaannya kelihatan sebilangan pengunjung memakai topeng muka sebagai langkah berjaga-jaga. Berikutan ia diadakan pada bulan Oktober, hujan renyai-renyai turun membasahi tapak karnival. 

Saya sampai agak awal di tapak karnival namun orang ramai telah pun memenuhi ruangan tapak karnival tersebut. Walaupun bilangan gerai pameran dan jualan tidak sebanyak dahulu, tetapi pengunjung tetap hadir untuk mengisi waktu lapang mereka pada hujung minggu.

Sekiranya matlamat program ini tercapai, dan dapat memberi manfaat kepada orang ramai, saya berharap program seperti ini wajar diteruskan pada masa akan datang. B


Thursday, October 6, 2022

CME MINGGUAN : JABATAN FARMASI

Assalamualaikum

Bismillahirrahmanirrahim



Setiap hari Khamis akan berlangsung CME mingguan di dewan utama hospital. Pembentangan hari ini adalah daripada Jabatan Farmasi dengan tajuk ‘Pengurusan Produk Rangkaian Sejuk’. 

Sebenarnya saya pernah mendengar penjelasan daripada kakak saya berkenaan serba sedikit tentang pengurusan dan penghantaran vaksin ketika pandemik Covid-19 yang lalu di mana ia perlu disimpan pada suhu yang tertentu (2𑇑C - 8𑇑C) untuk menjamin kualiti vaksin tersebut.

Jadi dengan pendedahan CME pada hari ni, telah menambah ilmu saya tentang tatacara penyimpanan ubat-ubatan di jabatan farmasi terutamanya ubat yang perlu disimpan dalam suhu sejuk yang tertentu. B


Wednesday, October 5, 2022

GOLD SPOON aka SUDU EMAS

Assalamualaikum

Bismillahirrahmanirrahim





Perkataan ‘kena suap’ tu sudah sangat terkenal sejak dari zaman persekolahan lagi. ‘Kena suap’ membawa maksud; tidak perlu bersusah payah mencari ilmu cuma perlu meminta jawapan sahaja daripada guru. 

Walaupun maksud ‘kena suap’ berbeza dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka kerana menurut kamus tersebut ia lebih kepada membawa maksud: mengambil rasuah.

Tetapi itu bukan konteks yang ingin saya kaitkan dengan gambar di atas. Perkaitannya hanyalah daripada perkataan ‘Sudu’ sahaja kerana sudu adalah sinonim dengan menyuap.

Tetapi kalau SUDU EMAS? Apakah perkaitannya pula?

Sudu emas berkait rapat dengan keadaan seseorang yang dibesarkan dengan kemewahan. Boleh katakan mereka yang dibesarkan dengan ibu bapa yang kaya raya ini tidak mengenal erti kesusahan kerana mereka boleh mendapat apa sahaja yang mereka mahukan. 

Jadi begitulah perumpamaan sudu emas dalam cerita ini tetapi diolahkan penceritaannya setakat empat episod yang saya baru tonton dengan baik sekali. Tidak kiralah sama ada kita mendapat sudu emas ataupun tidak, kita kena sentiasa bersyukur dengan apa yang ibu bapa kita mampu sediakan. Kerana kita tidak tahu apakah kesusahan yang mereka hadapi untuk membesarkan kita.    

Saya ingin menjemput penonton untuk menonton cerita ini dan mengambil iktibar bahawa tak semestinya sudu emas yang kita perlukan dalam hidup ini untuk mencapai kebahagiaan tetapi yang kita lebih perlukan adalah kebersamaan dan kasih sayang dalam keluarga. B

Tuesday, October 4, 2022

SMART ART DAN SOLAT JENAZAH

Assalamualaikum

Bismillahirrahmanirrahim 



Semalam saya telah mendapat tugasan untuk mengubahsuai semula hierarki jawatan dalam jabatan kami. Tetapi saya belum pernah ada pengalaman menggunakan SmartArt Graphic selama ini. Saya telah membuat benda sama dengan berulang-ulang banyak kali tetapi hasilnya tidak memuaskan. 

Sekiranya kita tidak mengetahui mengenai sesuatu perkara tu bermaksud kita kena pergi belajar. Saya pun tidak tahu mahu bertanya atau merujuk kepada siapa kerana saya tidak mengenali sesiapa yang ‘expert’ dengan tugasan komputer. 

Jadi, tahu apa yang saya buat? Saya google dan cari di carian You Tube tentang kaedah menggunakan SmartArt Graphic ini satu persatu. Alhamdulillah akhirnya siap sudah untuk tugasan yang pertama. Saya mengambil masa daripada pagi sampai ke petang untuk menyiapkannya. Saya pulang agak lewat semalam untuk menyiapkan tugasan ini biar ia siap sepenuhnya. Saya tidak mahu menangguh dan menyambung semula keesokannya kerana saya yakin yang saya boleh siapkannya sebelum saya pulang ke rumah pada hari tersebut. 

Sebagai kesimpulannya, kalau kita tidak tahu, jangan malu untuk mencari ilmu sementelah sekarang ini semuanya di hujung jari sahaja. Pastikan anda mendapat ilmu yang tepat dan daripada sumber yang betul. Jangan pernah berhenti belajar. Setiap hari akan ada ilmu yang baru yang harus kita pelajari. InsyaAllah.



Suasana ketika solat zuhur tengah hari tadi bertukar menjadi sayu apabila kami dimaklumkan solat jenazah akan dimulakan sebentar sahaja lagi. Lebih pilu, solat jenazah terbabit diimamkan sendiri oleh anak Allahyarhamah. 

Aku pun tidak dapat menahan air mata sebak ketika berada di dalam masjid sebentar tadi. Suasana pilu dan sayu tentang perkara yang sangat pasti bahawa kita semua akan merasakan akan mati. Cuma masanya sahaja tidak diketahui sahaja. 😢

Moga-moga kita mati dalam keadaan husnulkhatimah iaitu kematian yang baik. Amin. 🤲🏻

Semoga ruh Allahyarhamah dicucuri rahmatNya. B

Sunday, October 2, 2022

KATEGORI FUN RUN: MOUNT TEBU CLIMBATHON CHALLENGE 2022

 Assalamualaikum

Bismillahirrahmanirrahim





Saya telah menyertai aktiviti Fun Run 5 km yang diadakan di Lata Belatan, Besut, Terengganu. Setelah sekian lama akhirnya saya mengambil bahagian semula dalam aktiviti lasak seperti ini. Kali terkahir saya melasakkan diri saya adalah ketika berada di kem PLKN hampir lebih daripada 10 tahun yang lalu. Hati ini berasa puas dan seronok kerana aktiviti seperti ini membuatkan saya keluar daripada rutin biasa yang saya lakukan dan cabaran ketika menyusuri hutan tak akan dapat saya lupakan. Semoga ini bukanlah yang pertama dan terakhir, akan ada lagi Rabiha di Fun Run yang seterusnya. 😉 B

Arahan Kerja (AK) dan Prosedur Kerja (PK)

 Assalamualaikum

Bismillahirrahmanirrahim




Pada hari Rabu baru-baru ini, satu mesyuarat ringkas telah diadakan untuk menyemak semula Arahan Kerja (AK) dan Prosedur Kerja (PK) atau lebih dikenali dengan AKPK. Segala arahan dan prosedur yang dimasukkan ke dalam AKPK, akan dijadikan sebagai panduan dan rujukan untuk kerja-kerja yang dilakukan semasa klinik beroperasi.  AKPK ini akan dihantar dan disemak semula oleh pengurusan.