Sunday, May 15, 2022

UMRAH PERTAMA (Part 1)

 Assalamualaikum


Suku pertama tahun 2022 bermula dengan perancangan untuk menunaikan UMRAH yang berlaku secara tiba-tiba.

Tanpa diduga, Teh dan Ayah Teh diberikan ilham oleh Allah S.W.T untuk mengajak kami sekeluarga (ma, abah, aku dan adik) pergi mengerjakan umrah bersama mereka.

Aku kira, jika betul-betul kami sampai di sana, ini merupakan perjalanan paling jauh dan paling lama kami sekeluarga pernah pergi bersama-sama. Kerana sebelum ini, kebanyakannya kami hanya bercuti kerana balik kampung ma di Dungun dan Kemaman sahaja. Paling jauh pernah pergi berjalan bersama keluarga pun hanya ke negeri Pahang atau ke Kelantan sahaja.

Segalanya berlaku dengan begitu pantas. Walaupun pada awalnya, mengambil masa sedikit untuk memujuk dan meyakinkan ma untuk bersetuju pergi menunaikan umrah kali ini, Alhamdulillah dengan izin Allah, ma akhirnya bersetuju. 

Ma dan abah tidaklah sihat seperti orang lain. Masing-masing sudah tidak berupaya berjalan dengan lincah seperti dahulu lagi. Kerana ini merupakan pengalaman pertama kami menunaikan umrah, of coursc bermacam-macam bermain dalam fikiran ini terutamanya ibu bapa kami. 

Kami pergi menunaikan umrah dengan pakej daripada TiramTravel Sdn Bhd. Travel agency ini berpusat di negeri Johor dan ada membuka cawangan di Kuala Terengganu.

Segala urusan kebanyakannya diuruskan oleh Ayah Teh, Kami sangat berbesar hati dan terhutang budi kepada keluarga Teh dan Ayah Teh atas kesudian mengepalai perjalanan umrah kita pada kali ini.

Disebabkan kami pergi ketika musim pandemik Covid-19, kerajaan telah membuat satu pengumuman tergempar apabila perjalanan umrah yang bermula 8 Januari dan ke atas hendaklah ditangguhkan sehingga ke tarikh yang akan diumumkan kelak. Mengikut kenyataan daripada Menteri Kesihatan, sebagai langkah keselamatan, perjalanan umrah disekat selama sebulan sehingga situasi di Mekah dan Madinah dilaporkan selamat. Hal ini berlaku berikutan bilangan kes varian Omicron meingkat dalam kalangan warga umrah.   

Alhamdulillah, Allah benar-benar menjemput kami ke sana. Setelah sebulan daripada pengumuman dibuat, akhirnya kami dibenarkan untuk menunaikan umrah tetapi kami harus memilih tarikh baru untuk ke sana. Dan tarikh tersebut dipilih berdasarkan kepada jumlah ‘seat’ yang kosong dalam kapal terbang yang cukup untuk menempatkan kesemua sembilan orang.

Tarikh tersebut adalah antara bulan 15 Februari atau bulan Mac. Kami memilih untuk pergi pada bulan Februari kerana dibimbangi jika akan berlaku lagi perubahan yang mengejut daripada pihak kerajaan. Selain itu, salah seorang daripada kami hanya boleh mengambil cuti yang panjang sehingga bulan Februari sahaja kerana kekangan jadual kerja. 

Setelah semuanya selesai dan bersetuju dengan tarikh baru tersebut, aku dengan penuh tawakkal berserah kepada Allah sekiranya benar aku dijemput olehMu ke sana, permudahkanlah urusanku kerana aku masih belum mendapat pengganti untuk menguruskan tugas-tugas aku sebagai optometris di kedai. Aku rasa sedikit stress kerana hati ini benar-benar ingin ke sana tetapi kekangan-kekangan dan cabaran yang aku hadapi ini sedikit sebanyak menggusarkan hati aku.

Kata adik, ‘Allah pasti mudahkan dan bukakan jalan untuk kita sekiranya benar-benar Dia ingin menjemput kita ke sana, insyaAllah there is always miracle last minute.’

Allah gerakkan hati aku untuk meletakkan iklan mencari lokum di story instagram aku. Dan tidak aku sangka, Allah menggerakkan hati Ainun untuk menggantikan tempat aku buat sementara waktu sepanjang aku di sana. Maka, dapatlah aku mengerjakan ibadat dengan hati yang tenang. Segalanya boleh berlaku dengan izin Allah. Tinggal cuma kita harus yakin. Tidak ada perancangan Allah yang sia-sia. 

So setakat ini dahulu untuk Part 1 UMRAH. InsyaAllah akan disambung pada masa akan datang.       

No comments:

Post a Comment