Saturday, November 26, 2022

Pilihan Raya Umum

Assalamualaikum

Bismillahirrahmanirrahim


Tanggal 19 November 2022 (Sabtu) telah dinobatkan sebagai tarikh yang bersejarah bagi negara Malaysia apabila telah diadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15. Walaupun negara berhadapan dengan ramalan banjir, PRU tetap diadakan dan Alhamdulillah PRU berjalan dengan lancar dan banjir tidak berlaku seperti yang diramalkan. 

(p/s: sebenarnya agak pelik jugak sebab selalunya kalau dah masuk musim tengkujuh jarang Malaysia tidak menghadapi musim banjir) -wallahualam

Ini merupakan kali ke-3 saya mengundi. Kali pertama mengundi adalah pada PRU 13. Saya masih ingat lagi semangat sebagai seorang anak muda begitu berkobar-kobar mendaftar mengundi dengan Mena di Kuantan kerana pada ketika itu saya masih menuntut di UIA, Kuantan.

Alhamdulillah kerana semuanya berjalan dengan lancar. Kami turun awal pada hari tersebut iaitu pada pukul 8.15 pagi. Ketika itu hanya barisan di Saluran 1 dan 2 agak ramai, tetapi Saluran 3 (saya berada di Saluran 3) masih belum ramai yang turun mengundi lagi. Jadi selepas 15 minit semuanya sudah selesai. 

Keputusan menunjukkan PAS menang di semua Parlimen di Terengganu. Kali ini, PAS bergabung di bawah PERIKATAN NASIONAL. Calon yang bertanding, menggunakan tiket PAS di semua parlimen di Terengganu. PAS sapu bersih semua kerusi bukan sahaja di Terengganu, tetapi juga di Kelantan. Kubu kuat PAS tu. Jangan main!

Kerana tidak ada parti pun yang menguasai 112 kerusi untuk membentuk kerajaan, maka negara kita tergantung sehingga 5 hari lamanya untuk melantik seorang perdana menteri yang bakal menerajui kerajaan Malaysia. PH menang dengan majoriti 83 kerusi, PN 72 kerusi dan BN 39 kerusi.

Tidak ada satu pun parti yang bersetuju untuk bergabung agar dapat membentuk majoriti 112 kerusi, maka Yang Di-Pertuan Agong berkenan untuk mengadakan perbincangan dan menggunakan kuasa Baginda untuk melantik Perdana Menteri Malaysia yang kesepuluh.

Kali ini, politik Malaysia dirasakan begitu berbeza daripada sebelumnya kerana UMNO/BN sebelum ini menang mudah dan boleh membentuk dan menerajui kerajaan. Tetapi, kini tidak lagi. Rakyat pun sebenarnya sudah muak dengan berita rasuah pemimpin-pemimpin dan mengharapkan kerajaan yang bersih rasuah dan boleh mentadbir kerajaan dengan baik disamping boleh membela nasib rakyat yang dilihat makin dihimpit dengan masalah kegawatan ekonomi di mana harga barang semakin naik tetapi taraf hidup rakyat tidak berubah dan sempit. 

Adalah diharapkan dengan pelantikan Dato Seri Anwar sebagai Perdana Menteri Malaysia dapat membela hidup rakyat dan membawa perubahan ke arah Malaysia yang lebih baik. Kami beriman dengan Qada’ dan Qadar Allah. Sekiranya inilah yang berlaku, sebagai rakyat kita kena menerima dan berdoa moga ini adalah yang terbaik untuk kita semua. Semoga agama Islam tidak dipinggirkan dan dijadikan sumber rujukan utama dan tidak dibelakangkan. Amin. B

No comments:

Post a Comment