Monday, July 5, 2021

Bendera Putih

 Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum


Baru-baru ini, bendera putih menjadi isu terhangat dalam negara berikutan tular sebuah posting di facebook yang menggalakkan untuk mengibarkan bendera putih di luar rumah sebagai simbolik meminta bantuan sekiranya tidak ada bekalan makanan di rumah tersebut.  Bendera putih yang digantung di luar rumah memudahkan badan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan, jiran-jiran atau wakil rakyat untuk mengenalpasti mereka yang terdesak dan memerlukan pertolongan. 

Namun begitu, masih ada sebilangan golongan yang tidak bersetuju dengan idea tersebut. Mereka menganggap bahawa tindakan seperti itu hanya akan mengaibkan penduduk rumah terbabit. Pandangan sedemikian dibimbangi boleh memburukkan keadaan dan boleh membuatkan mereka yang memerlukan bantuan seperti kehilangan punca. Bukan semua orang yang memerlukan bantuan mengetahui cara yang betul untuk memohon bantuan melalui saluran rasmi. Diharap usaha yang sedikit ini, dapat meringankan beban mereka yang tengah dalam kesempitan. 

Berikut merupakan pandangan Mufti Wilayah Persekutuan: 

Hukum menggunakan bendera putih sebagai cara untuk meminta bantuan ketika kesusahan bergantung kepada perspektif kita melihat perkara tersebut. Jika perbuatan itu atas dasar membantu mereka yang memerlukan dengan cara memudahkan pihak yang ingin memberi bantuan dan mengenal pasti pihak yang dalam kesusahan, maka boleh dilaksanakan. Sebaliknya jika kita lihat itu sebagai mengaibkan diri sendiri maka wajar dielakkan. Dalam keadaan sekarang, ramai pihak  sudi menghulurkan bantuan dan juga disediakan nombor-nombor untuk dihubungi  bagi mereka yang dalam kesusahan. Mereka juga boleh menghubungi terus pihak yang membantu untuk segera mendapatkan bantuan. Ia terserah kepada pertimbangan masing-masing dalam melaksanakan melalui cara dan inisiatif dalam bentuk bagaimana yang dirasakan selesa. 

Berdasarkan pernyataan di atas, jelaslah bahawa mengibarkan bendera putih adalah salah satu usaha untuk mendapatkan bantuan. Namun, saluran lain juga harus digunakan sebagai alternatif lain seperti menghubungi pihak tertentu agar bantuan dapat disampaikan melalui pelbagai cara. Di samping itu, dengan mengibarkan bendera putih, proses menyalurkan bantuan dapat dilakukan dengan pantas dan berkesan.

Siapakah yang memulakan kempen bendera putih?



Nik Faizah binti Nik Othman (Timbalan Ketua Angkatan Wanita Amanah Negeri Kelantan) merupakan pelopor kempen bendera putih. Berikutan posting di Facebook-nya pada 28 Jun 2021 tentang galakan mengibarkan bendera putih untuk mendapatkan bantuan telah menjadi tular dengan begitu cepat sekali. Di Twitter sahaja, sekitar 41,000 hashtag #benderaputih telah dicicip. Rakyat menyambut baik kempen ini kerana bimbang dengan status ekonomi seseorang yang mendesak dan juga kesihatan mental rakyat kini yang tertekan dengan keadaan semasa akibat kehilangan punca pendapatan.  

Menurut statistik, jumlah kes bunuh diri meningkat sejak tularnya virus COVID-19 ini. Bilangan kes adalah sangat membimbangkan. Menurut Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia), kes bunuh diri meningkat kepada 631 kes daripada 609 kes pada tahun 2019. Malah, sudah berlaku 366 kes bunuh diri dilaporkan oleh polis bagi tiga bulan pertama tahun ini. Jadi, besarlah harapan kita semua, dengan berlangsungnya kempen solidariti ini secara aktif, banyak nyawa rakyat dapat diselamatkan.

Jom sama-sama kita bersolidariti menyokong kempen mengibar bendera putih ini agar jiran-jiran dan rakyat Malaysia dapat menerima bantuan dengan segera. 👍


Sumber: 

1. Kosmo! Apa Salahnya Mengibarkan Bendera Putih? Jamdi Nasir 1 Julai 2021: https://www.kosmo.com.my/2021/07/01/apa-salahnya-mengangkat-bendera-putih/

2. Malaysia Date Line Perlekeh Kibar Bendera Putih Tanda Hati Hati Sudah Hitam Shahbudin Husin 1 Julai 2021: https://malaysiadateline.com/perlekeh-kibar-bendera-putih-tanda-hati-sudah-hitam/

3. Mufti Wilayah Persekutuan Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-588: Hukum Kibar Bendera Putih Untuk Meminta Bantuan Aiman Rafie 1 Julai 2021: https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/4853-irsyad-al-fatwa-siri-ke-588-hukum-kibar-bendera-putih-untuk-meminta-bantuan

4. Berita Harian Sokong Kempen Bendera Putih 2 Julai 2021: https://www.bharian.com.my/rencana/minda-pembaca/2021/07/834545/sokong-kempen-bendera-putih

5. Ismaweb Bendera Putih: Ahli Politik Patut Rasa Bersalah Tak Tahu Rakyat Perlu Bantuan Athirah Huda Zaihe 3 Julai 2021: https://ismaweb.net/2021/07/03/bendera-putih-ahli-politik-patut-rasa-bersalah-tak-tahu-rakyat-perlu-bantuan/

6.  Ikram Bendera Putih: Mencari Pemimpin Berjiwa Umar Abdul Aziz Atriza Umar 29 Jun 2021: https://ikram.org.my/berita/artikel/item/4555-bendera-putih-mencari-pemimpin-berjiwa-umar-abdul-aziz.html

7. Info Rakyat Siapa Mulakan Kempen Kibar Bendera Putih? 30 Jun 2021: https://www.inforakyat.net/siapa-mulakan-kempen-kibar-bendera-putih/

8. Malaysia Kini Bendera Putih: Orang Agama Sepatutnya Lebih 'Husnudzon' Kata Puad 2 Julai 2021: https://www.malaysiakini.com/news/581393

No comments:

Post a Comment