Wednesday, July 14, 2021

Major Depressive Disorder (MDD)

 Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum



Setiap daripada kita tidak akan terlepas daripada melalui episod sedih seperti kehilangan pekerjaan atau kematian orang yang disayangi. Tetapi, apabila sesorang berada dalam fasa kesedihan yang terlalu lama, ia akan membawa kepada kemurungan (depression). Daripada kemurungan  yang berpanjangan akan membawa kepada penyakit yang dikenali sebagai 'Major Depressive Disorder' / (MDD). 

Pernahkah anda  mendengar tentang penyakit ini? Penyakit ini adalah satu penyakit mental dan psikologi. Individu yang mengalaminya mungkin telah lama berada di dalam tempoh tekanan atau kemurungan yang panjang disebabkan sesuatu peristiwa yang terjadi dalam hidup mereka. 

Apabila seseorang individu mengalami MDD ini, seluruh fungsi kehidupan mereka akan terjejas seperti kitaran tidur ataupun selera makan.  

Diagnosis MDD biasanya akan dibuat dengan mengambil kira perasaan pesakit, simptom-simptom yang dialami dan tindak-tanduk (behaviour) pesakit. Jom kenali tanda-tanda seseorang individu itu mengalami MDD:

Tanda-tanda penyakit kemurungan:
1. Perasaan sedih sepanjang hari dan hampir setiap hari dalam tempoh dua minggu.
2. Tidak bersemangat atau tidak berminat melakukan aktiviti yang disukai sebelumnya.
3. Kurang selera makan atau berat badan merosot (~5 peratus) daripada asal dalam waktu yang singkat.
4. Corak tidur berubah, sama ada kurang tidur (insomnia) atau terlebih tidur (hypersomnia).
5. Selalu letih dan kurang tenaga.
6. Perasaan bersalah yang tidak setimpal dengan sesuatu perbuatan atau merasakan diri tidak berguna.
7. Tidak mampu memberikan perhatian atau konsentrasi terjejas.
8. Berfikir tentang keinginan untuk mati atau bunuh diri dengan kerap, atau mempunyai rancangan untuk membunuh diri.
9. Gejala ini menjejaskan fungsi seharian individu samaada dari segi aspek sosial atau pekerjaan.

Punca tekanan berlaku pula ialah:

Sebab-sebab berlaku kemurungan
Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada seseorang itu untuk mengalami penyakit kemurungan:
1) Genetik atau keturunan: Individu yang mempunyai ahli keluarga yang pernah menghidapi penyakit kemurungan, mempunyai risiko yang lebih tinggi.
2) Personaliti diri: Individu dengan personaliti yang selalu gelisah, pendiam serta kurang ceria adalah lebih cenderung untuk mendapat penyakit ini.
3) Trauma ketika kanak-kanak: Mereka yang pernah mengalami peristiwa hidup yang memberi impak pada zaman kanak-kanak seperti penderaan fizikal / mental atau kehilangan ibu bapa sewaktu kecil didapati mempunyai risiko yang lebih tinggi.
4) Penggunaan dadah atau alkohol.
5) Tekanan hidup: Sejarah hidup yang negatif atau tekanan yang berterusan.
6) Ketidakseimbangan bahan kimia (neurotransmitter) di dalam otak. Bahan kimia utama yang sering dikaitkan ialah serotonin. Selain daripada itu norepinephrine dan dopamine juga turut terlibat. Bahan-bahan ini diperlukan untuk otak kita berfungsi secara normal dalam mengawal perasaan kita.

Tekanan yang dialami oleh pesakit berkeupayan mengganggu kebolehan pesakit untuk mengawal kestabilan mood dan kimia otak. Hal ni akan membawa kepada kebolehan pesakit untuk menumpu, berfikir dan membuat keputusan terganggu dan merosot. 

Kebiasaannya mereka akan dirawat dengan memakan ubat dan sekiranya terdapat lintasan fikiran ingin membunuh diri, mereka akan dipantau di wad sehingga mereka kembali pulih.

Selain ubat-ubatan, pesakit MDD dinasihatkan untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat agar dapat menaikkan mood dan mengurangkan simptom MDD.

Antara yang boleh dilakukan adalah:

1. Mengamalkan makan makanan yang sihat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan

2. Jauhkan daripada pengambilan processed food

3. Banyakkan exercise kerana MDD akan menyebabkan badan berasa kurang bermaya. Dengan exercise, ia boleh menaikkan mood dan membuatkan pesakit berasa lebih baik.

Terdapat peluang untuk sembuh sekiranya individu tersebut mendapatkan rawatan awal. Sekiranya tidak mendapat rawatan lebih awal, perkara buruk yang mungkin berlaku ialah individu tersebut tidak lagi boleh bekerja dan membuat aktiviti harian dengan baik. Selain itu, pesakit juga mungkin akan mendapat delusi atau halusinasi dan berkemugkinan mempunyai fikiran untuk membunuh diri.  Hal ini mengakibatkan pesakit perlu dipantau dengan ketat sebelum dipastikan pesakit itu benar-benar sembuh.

        # pesanan penaja: aku mentally healthy 💓  # just sharing this topic for general knowledge  

No comments:

Post a Comment