Wednesday, July 21, 2021

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum

Selamat Hari Raya AidilAdha

Pada tarikh 20/7/2021 semalam, kita umat Islam menyambut Hari Raya AidilAdha atau dikenali sebagai Hari Raya Korban.

Pada musim COVID ini, sembahyang raya hanya terhad kepada bilangan tertentu sahaja. Jadi, sambutan hari raya tidaklah semeriah dulu. Jika dahulu, kita akan menyaksikan pemandangan pada waktu pagi di mana penduduk kampung berpusu-pusu ke masjid untuk menunaikan sembahyang raya dan mendengar khutbah hari raya.

Berlainan pula pada tahun ini, kita dibenarkan untuk menyambut hari raya seperti biasa cuma perlu sentiasa menjaga SOP seperti memakai mask dan menjaga jarak antara satu sama lain. Tahun ini, agak meriah juga sambutan di kampung aku. Sudah lama aku tidak turun menyaksikan lembu disembelih. Aku hanya membantu memotong daging (macam biasa) haha

Diharapkan COVID ini lekas berlalu pergi dan kita akan dapat meraikan sambutan hari raya dengan gilang gemilang seperti selalu. Amin 

Sejarah kenapa disyariatkan Hari Raya Korban adalah manifestasi daripada sejarah Nabi Ibrahim yang diperintahkan untuk menyembelih anaknya; Nabi Ismail. Wahyu yang diterima daripada mimpi itu diceritakan kepada Nabi Ismail dan Nabi Ismail menyuruh ayahnya untuk menunaikan kewajipan tersebut. Kerana mimpi para Nabi dan Rasul adalah wahyu dan bukan mainan syaitan seperti manusia lain.

Dengan hati yang mengharapkan keredhaan Allah, Nabi Ibrahim menunaikan perintah tersebut tetapi dengan kuasa Allah, Nabi Ismail ditukarkan dengan seekor Kibasy. Sejak daripada hari itu, umat Islam disyariatkan untuk melakukan ibadah korban. Binatang yang boleh dikorbankan antaranya; UNTA, LEMBU, KAMBING, BIRI-BIRI dan KERBAU.

Ibadah ini boleh dilakukan bermula 10 Zulhijjah sehingga hari Tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijjah) setiap tahun. Pada tahun ini, harga sebahagian lembu dalam RM700. 

Jika kita di sini melakukan ibadah korban, mereka yang sedang mengerjakan ibadah Haji sedang melontar di Jamatul Aqabah sebagai manifestasi perlakuan Nabi Ibrahim yang melontar batu kepada syaitan kerana hendak mengganggu dan menghalang ibadah korban yang ingin dilaksanakan.

Sebenarnya kita sebagai umat Islam perlu mengambil tahu tentang sejarah kenapa sesuatu ibadah itu disyariatkan. Agar kita dapat menghayati dan mengambil pelajaran daripadanya dan tidak kita melakukan ibadat dengan taklid buta. 


    

No comments:

Post a Comment